SUKU AKHIR KEJUARAAN B-23 AFC 2018: KOREA SELATAN 2-1 MALAYSIA

2018-01-21

Skuad B-23 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 2-1 kepada naib juara edisi lalu, Korea Selatan pada perlawanan suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Stadium Kunshan, China, petang semalam.

Korea Selatan bimbingan Kim Bong-Gil mendahului seawal 12 saat permainan menerusi jaringan Cho Jae-Wan, namun Malaysia berjaya mengikat seketika kedudukan 1-1 pada minit ke-67 menerusi tandukan penyerang gantian, N Thanabalan.

Harapan Malaysia untuk mengheret permainan ke masa tambahan tidak kesampaian apabila Korea Selatan berjaya memperoleh gol kemenangan menerusi Han Seung-Gyu pada minit ke-85.

Terdahulu, skuad Kim Swee telah melakar sejarah baharu bola sepak negara apabila berjaya melangkah ke suku akhir pada penampilan sulung di Kejuaraan B-23 AFC kali ketiga ini selepas Malaysia gagal melayakkan diri ke pusingan akhir pada dua edisi terdahulu.

Malaysia memulakan kempen dengan langkah kiri apabila tewas 4-1 kepada juara edisi sulung kejohanan, Iraq di Stadium Changshu pada 10 Januari dengan Safawi Rasid menjaringkan gol tunggal skuad B-23 kebangsaan.

Peluang ke suku akhir bagaimanapun kembali terbuka selepas Malaysia berjaya mengikat Jordan 1-1 menerusi jaringan penyamaan hasil sepakan penalti oleh Safawi pada aksi kedua, 13 Januari yang juga berlangsung di Stadium Changshu.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas naib juara edisi sulung kejohanan, Arab Saudi menerusi jaringan tunggal Danial Amier Norhisham pada aksi di Stadium Kunshan pada 16 Januari membolehkan Malaysia muncul naib juara Kumpulan C di belakang Iraq, sekali gus menyingkirkan Jordan dan Arab Saudi.

Skuad B-23 kebangsaan akan kembali ke tanah air pada Isnin, 22 Januari menerusi penerbangan dari Shanghai dan dijangka tiba di KLIA pada jam 9.50 malam.

Sementara empat pasukan bakal meneruskan saingan pada separuh akhir iaitu Qatar bertemu Vietnam manakala Uzbekistan berdepan Korea Selatan pada aksi yang bakal berlangsung pada Selasa, 23 Januari sebelum aksi final pada Sabtu, 27 Januari.

 

BARISAN PEMAIN MALAYSIA KETIKA PERLAWANAN SUKU AKHIR BERTEMU KOREA SELATAN:

 

KESEBELASAN UTAMA: 1-Haziq Nadzli (PG); 15-Dominic Tan, 17-Irfan Zakaria, 9-Adam Nor Azlin (K); 2-Matthew Davies, 8-Nor Azam Abdul Azih, 16-Danial Amier Norhisham, 21-Syazwan Andik Ishak; 6-Safawi Rasid, 7-Nik Akif Syahiran Nik Mat, 18-Akhyar Rashid.

SIMPANAN: 3-Syazwan Zaipol Bahari, 4-Adib Zainudin, 5-Syahmi Safari, 10-Hadi Fayyadh Abdul Razak, 11-Jafri Firdaus Chew, 12-N Thanabalan, 13-Tommy Mawat Bada, 14-Syamer Kutty Abba, 19-Kogileswaran Raj, 20-Shivan Pillay Asokan, 22-Ifwat Akmal Chek Kassim (PG), 23-Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (PG).