TIKET PIALA SUZUKI AFF 2018 DIJUAL DI AL-IKHSAN BERMULA 25 OKTOBER

2018-10-22

Selepas mengumumkan jualan tiket secara online bermula Sabtu lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengambil inisiatif tambahan untuk bekerjasama dengan Al-Ikhsan Sports bagi membolehkan para penyokong Harimau Malaya membeli tiket perlawanan Piala Suzuki AFF 2018 lebih awal di 20 cawangan terpilih rangkaian gedung barangan sukan terkemuka berkenaan bermula Khamis ini, 25 Oktober 2018.

Perbincangan antara Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Pemasaran Al-Ikhsan Sports, Mizal Ghazali di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini telah mencapai persetujuan untuk melantik Al-Ikhsan Sports sebagai Rakan Jualan Tiket Eksklusif Harimau Malaya untuk perlawanan Piala Suzuki AFF 2018 .

Ia membabitkan penjualan tiket bagi perlawanan kedua Kumpulan A bertemu Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Isnin, 12 November 2018 (8.45 malam) dan perlawanan keempat Kumpulan A menentang Myanmar juga di Stadium Nasional pada Sabtu, 24 November 2018 (8.30 malam).

Harga tiket bagi setiap perlawanan tersebut adalah RM30 (grandstand), RM20 (terbuka) dan RM5 (kanak-kanak).

Berikut adalah senarai 20 cawangan terpilih sekitar Lembah Klang yang akan memulakan penjualan tiket berkenaan (terhad kepada 5 tiket bagi setiap pembelian) bermula Khamis ini, dari jam 10 pagi hingga 10 malam:

1. MyTOWN, Jalan Cochrane

2. Taman Dagang, Ampang

3. AEON Rawang

4. Batu Tiga, Shah Alam

5. NU Sentral, Jalan Tun Sambanthan

6. Kuala Selangor

7. Jejantas Sungai Buloh

8. AEON Shah Alam

9. Plaza Alam Sentral, Shah Alam

10. Melawati Mall, Taman Melawati

11. Setapak Central

12. Sunway Putra Mall

13. Megastore Bangi, Bandar Baru Bangi

14. Alamanda, Putrajaya

15. IOI City Mall, Putrajaya

16. Sunway Pyramid

17. The Curve, Mutiara Damansara

18. AEON Bukit Tinggi, Klang

19. Selayang Mall

20. Football Republic, KLCC

Bagi peringkat permulaan, jualan tiket hanya di 20 cawangan terpilih ini sebelum diluaskan ke cawangan-cawangan lain berdasarkan permintaan.

FAM berharap para penyokong Harimau Malaya dapat menggunakan sepenuhnya peluang ini bagi mengelak daripada terpaksa beratur panjang membeli tiket di kaunter tiket stadium pada hari perlawanan.

Selain penjualan awal di Al-Ikhsan Sports ini, tiket-tiket bagi dua perlawanan Piala Suzuki AFF 2018 ini turut sudah dijual secara online di www.tickethotline.com.my bermula Sabtu lalu (20 Oktober 2018).

Tiket-tiket ini juga akan dijual di kaunter tiket khas di Stadium Nasional pada Sabtu, 3 November 2018 bersempena berlangsungnya perlawanan persahabatan antarabangsa "A", Malaysia bertemu Maldives di stadium sama.

Dua lagi perlawanan peringkat kumpulan membabitkan skuad Harimau Malaya akan berlangsung di gelanggang lawan, iaitu perlawanan pertama bertemu Kemboja di Phnom Penh pada Khamis, 8 November 2018 dan perlawanan ketiga berdepan Vietnam di Hanoi pada Jumaat, 16 November 2018.

 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)