VAR MASIH EKSPERIMEN, PELAKSANAAN DI LIGA-M DITANGGUH KE 2019

2017-06-20

Pada satu perjumpaan ringkas yang pertama sebaik sahaja berakhirnya Kongres FAM Ke-53 pada 25 Mac 2017, Tunku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selaku Presiden FAM yang baharu telah menyarankan kepada saya untuk membuat kajian dan penelitian segera bagi memperbaiki integriti dan prestasi pengadil dalam Liga Malaysia (Liga-M).

 Sehubungan itu, Tunku Presiden telah menzahirkan minat yang sangat mendalam kepada penggunaan teknologi video bantuan pengadil atau video assistant referees (VAR) yang sedang dibuat kajian oleh IFAB (The International Football Association Board).

 VAR pada ketika itu sedang dalam peringkat kajian secara intensif oleh FIFA dan dipraktiskan dalam beberapa kejohanan anjurannya seperti FIFA Club World Cup Japan 2016, diikuti dengan FIFA U20 World Cup Korea Republic 2017 dan yang terkini FIFA Confederation Cup Russia 2017.

 Pada prinsipnya FIFA berharap VAR akan dapat dimuktamadkan penggunaannya tanpa sebarang ‘kecacatan’ pada Kejohanan FIFA World Cup Russia 2018.

 Begitupun, sehingga kini VAR masih lagi dalam peringkat percubaan sama ada secara 'off-line’ mahupun ‘on-line’ di beberapa buah negara Eropah dan sebilangan kecilnya di COMMEBOL, CONCACAF, AFC dan begitu juga FIFA.

 Bagi membantu mempercepatkan projek tersebut, Tunku Presiden telah memperuntukkan sejumlah besar bajet untuk membolehkan kajian dan penelitian terhadap keberkesanan sistem ini dapat dilakukan dengan kadar segera.

 Sasaran awal projek ini adalah untuk memulakan latihan secara ‘off-line’ mulai Julai 2017 dan seterusnya mempraktiskan penggunaannya secara ‘on-line’ pada perlawanan peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir Piala Malaysia 2017. Seterusnya tahun 2018 akan dijadikan kemuncak kepada perlaksanaan projek ini secara rasmi dalam saingan Liga Super secara keseluruhannya. Itu adalah sasaran FAM.

 Bagi merealisasikan saranan tersebut, salah seorang ahli Jawatankuasa Pengadil FAM, Encik Nasaruddin Ishak telah dilantik sebagai Pengurus Projek VAR/FAM dan dibantu oleh saya sendiri dan juga seorang lagi ahli Jawatankuasa Pengadil FAM, Encik Ravichandran Chappinamuthu manakala Ketua Unit Pengadil FAM, Tuan Haji Kassim Kadir Bacha pula memainkan peranan sebagai pusat penyelarasan projek.

 Langkah awal adalah dengan menjemput Syarikat Hawk-Eye Innovations iaitu salah sebuah daripada beberapa buah syarikat pembekal VAR yang telah dikenalpasti oleh IFAB, sebagai antara yang terbaik untuk memperkenalkan konsep penggunaan VAR ini kepada FAM. Program ini telah diadakan pada 12 April 2017 di Johor Bahru dan telah dihadiri oleh sebilangan besar pengadil utama dalam Liga-M serta mendapat liputan media.

 Lanjutan daripada itu, FAM/FMLLP telah menugaskan Pengurus Projek VAR dan Ketua Unit Pengadil FAM untuk ke Korea Selatan pada 18 hingga 24 Mei 2017 bagi mengkaji secara lebih mendalam keberkesanan perlaksanaan VAR di dalam kejohanan FIFA U20 World Cup Korea Republic 2017.

 Pada masa yang sama, kedua-dua mereka juga telah mengadakan perbincangan secara rasmi dan mengikuti keseluruhan program VAR yang sedang diperkenalkan kepada pengadil dan pegawai bola sepak di Korea Selatan.

 Seterusnya pada 29 Mei hingga 2 Jun 2017, Encik Nasaruddin dan Tuan Haji Kassim telah ke Zurich, Switzerland pula bagi mengikuti 'VAR Workshop 4’ anjuran IFAB. Mereka berdua telah mengadakan perbincangan dan mendapatkan pelbagai maklumat dari setiap negara anggota yang telah lebih awal memulakan projek ini.

 Berdasarkan kepada laporan terperinci yang telah disediakan kepada semua ahli Jawatankuasa Pengadil FAM, kesimpulan yang perlu dibuat adalah projek ini memerlukan masa dan ia tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru di Liga-M.

 Untuk itu, pihak Jawatankuasa Pengadil FAM pada mesyuarat kali pertama bagi penggal 2017-2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam telah sebulat suara mengambil keputusan untuk memaklumkan kepada Tunku Presiden supaya menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan VAR dalam saingan Liga-M bagi musim 2018 berdasarkan kepada beberapa perkara utama yang belum meyakinkan jawatankuasa.

 Antaranya adalah seperti berikut:

1. VAR masih lagi dalam proses eksperimen sejak dari awal tahun 2017 dan semua negara anggota yang terlibat masih lagi dalam proses penyesuaian, di mana semua laporan berkaitan perlaksanaannya diserahkan kepada IFAB untuk diselaraskan penambahbaikannya pada masa hadapan.

2. Jawatankuasa juga mengkaji beberapa siri kelemahan VAR yang berlaku sepanjang eksperimen ini dilakukan seperti di Hyundai A-League Australia dan yang terkini di kejohanan FIFA U20 World Cup Korea Republic 2017.

3. VAR dijangka akan digunakan sepenuhnya dalam kejohanan FIFA World Cup 2018 Russia. Segala keputusan berkaitan keberkesanan VAR dijangka hanya akan diperolehi selepas daripada kejohanan terbesar ini. Untuk itu, adalah sangat bersesuaian supaya hasil daripada laporan yang bakal disediakan oleh Jawatankuasa Teknikal FIFA selepas daripada kejohanan ini dapat dijadikan panduan kepada semua negara anggota termasuk Malaysia untuk memutuskan keberkesanan VAR dalam saingan Liga-M.

4. Kesimpulannya, jawatankuasa berpendapat VAR masih lagi ‘projek yang separa matang’ dari sudut keberkesanannya dan tidak sesuai sama sekali untuk menjadikan Liga-M musim 2018 sebagai bahan kajian yang memungkinkan lebih banyak salah faham dalam pengurusan bola sepak negara.

5. Oleh itu adalah lebih wajar untuk FAM menunggu sehingga VAR benar-benar menepati keperluan dan dinyatakan secara jelas dalam “Laws of The Game 2018-2019”.

 Bagaimanapun, jawatankuasa bersependapat dan menetapkan supaya Pengurus Projek VAR/FAM bersama dengan Ketua Unit Pengadil FAM untuk meneruskan 'kajian keberkesanan VAR’. Tumpuan khusus yang perlu diberikan perhatian adalah aspek perlaksanaannya pada kejohanan FIFA World Cup 2018 Russia.

 Sebarang aspek latihan dan seminar untuk pengadil dan pegawai penilai juga akan diterapkan dengan topik berkaitan VAR, dengan tujuan setiap daripada mereka akan bersedia sekiranya VAR telah berjaya dimuktamadkan oleh IFAB/FIFA nanti.

 

Subkhiddin Hj Mohd Salleh

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM