FAM HULUR SUMBANGAN BUAT BEKAS PEMAIN KEBANGSAAN KE SUKAN OLIMPIK 1972, V KRISHNASAMY

2018-02-26

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah berkunjung ke Pulau Pinang, hari ini bagi menziarahi V Krishnasamy, bekas pemain skuad kebangsaan ke Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

Selain bertanyakan khabar mengenai tahap kesihatan Krishnasamy, 74, yang menghidap penyakit diabetes, Dato' Hamidin turut menyampaikan salam daripada Presiden FAM, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang berkenan menghulurkan sumbangan wang tunai sebagai tanda penghargaan di atas jasa beliau sepanjang menyarung jersi skuad kebangsaan.

Krishnasamy yang bersara sebagai Sarjan Penjara di Penjara Pulau Pinang turut mewakili negara pada Kejohanan Asean di Bangkok pada tahun 1970 dan 1974, Sukan SEAP Kuala Lumpur 1971 dan Singapura 1973 serta menyarung jersi pasukan Perak, Pulau Pinang dan Penjara sepanjang karier domestiknya.