FAS TRI-NATIONS SERIES 2022: SINGAPURA 2-1 MALAYSIA

2022-03-27

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya tewas 2-1 kepada Singapura pada perlawanan kedua FAS Tri-Nations Series 2022 menerusi dua ledakan penyerang tuan rumah, Ikhsan Fandi di Stadium Nasional, Singapura, malam tadi.

Pengendali kebangsaan, Kim Pan Gon mengekalkan kesebelasan hampir sama ketika menewaskan Filipina 2-0, tiga hari lalu kecuali dua pertukaran iaitu mempertaruhkan semula ketua pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak bagi menggantikan Ahmad Khuzaimi Piee yang tidak dapat diturunkan kerana kecederaan manakala Safawi Rasid mengisi tempat Arif Aiman Hanapi.

Skuad Harimau Malaya hampir mengejutkan Singapura seawal minit pertama permainan, namun percubaan Safiq Rahim di dalam kotak penalti sedikit tersasar di sebelah kanan gawang tuan rumah.

Namun Singapura kendalian Nazri Nasir sebaliknya berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-30 menerusi satu serangan balas apabila bola lorongan Song Uiyoung dari sebelah kiri berjaya ditolak masuk oleh Ikhsan untuk menewaskan Farizal Marlias di gawang Malaysia.

Kedudukan 1-0 pada separuh masa pertama, Harimau Malaya beroleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada awal babak kedua selepas Safawi Rasid dijatuhkan Safuwan Baharudin, namun sepakan penalti yang diambil sendiri oleh Safawi pada minit ke-47 itu sekadar menggegar palang gol dan melantun keluar.

Malaysia akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-57 selepas Liridon Krasniqi yang menerima bola lorongan daripada Akhyar Rashid tenang mengatasi beberapa pemain pertahanan Singapura untuk melepaskan sepakan menewaskan Hassan Sunny.

Namun, sekali lagi menerusi satu serangan balas, gawang Malaysia bolos lagi, kali ini Ikhsan berjaya mengatasi tiga pemain Harimau Malaya sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan Farizal buat kali kedua pada minit ke-76 untuk mengubah kedudukan 2-1 dan ia kekal sehingga wisel penamat.

 

SINGAPURA: 18. Hassan Sunny (PG), 2. Zulqarnaen Suzliman (10. Christopher van Huizen 79'), 4. Nazrul Nazari, 7. Song Uiyoung (20. Shawal Anuar 88'), 8. Shahdan Sulaiman, 9. Ikhsan Fandi, 13. Taufik Suparno (19. Ilhan Fandi 71'), 14. Hariss Harun (K), 17. Irfan Fandi, 21. Safuwan Baharudin, 23. Zulfahmi Arifin (16. Hami Syahin 79').

MALAYSIA: 1. Farizal Marlias (PG), 2. Dion Cools, 3. Shahrul Saad, 7. Aidil Zafuan Abd Radzak (K) (6. Dominic Tan 82'), 8. Safiq Rahim (18. Luqman Hakim Shamsudin 82'), 11. Safawi Rasid (12. Arif Aiman Hanapi 66'), 14. Syamer Kutty Abba, 15. Kogileswaran Raj (10. Liridon Krasniqi 46'), 19. Akhyar Rashid (17. Faisal Abdul Halim 66'), 20. Syafiq Ahmad (13. Mohamadou Sumareh 16'), 22. La'Vere Corbin-Ong.

Pengadil: Ahmad A'Qashah Ahmad Al'Badowe (Singapura)