HARI 3: PIALA TUN SHARIFAH RODZIAH 2016

2016-04-09 

Sabah dan MISC mengekalkan rekod kemenangan seratus peratus pada hari ketiga saingan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2016 di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk terus menerajui tangga teratas Kumpulan A dan B.

Bagi saingan Kumpulan A, Sabah bimbingan Smith M Ampuling menumpaskan ATM 2-0 di Padang 2, pagi tadi untuk kini mengumpul sembilan mata maksimum menerusi jaringan Nurul Azurin Mazlan pada minit ke-36 dan Usliza Usman pada minit ke-61.

Selangor kendalian Ramachandran Krishnan pula gagal meneruskan rentak kemenangan dan kekal di tangga kedua dengan tujuh mata setelah diikat 1-1 oleh Sarawak di Padang 1. Pemain pertahanan, Syamimi Ibrahim memecah kebuntuan buat Sarawak pada minit ke-52 sebelum Zur’ain Kamarudin menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-65.

Pada satu lagi aksi yang berlangsung pagi tadi, Negeri Sembilan bangkit dari kekecewaan tewas pada dua perlawanan sebelum ini untuk mencatat kemenangan besar ke atas Perlis 6-1 di Padang 3.

Pasukan yang dibimbing Mohd Isa Abas itu mendahului 5-0 pada babak pertama menerusi jaringan Nor Syazwani Din pada minit ke-5, Nurul Fatiha Jamal (m-8), Farahana Muhamad (m-13 & m-18) dan Siti Maziah Mohd Faudzi (m-33). Nurulain Afiqah Mohd Yusni menambah derita Perlis pada babak kedua dengan gol pada minit ke-40 sebelum Zolyn Zulaiqha Mohamad Faudzi menjaringkan gol sagu hati pada minit ke-65.

Kumpulan B pula menyaksikan MISC kendalian Ananthan M Raman meraih kemenangan selesa ke atas Pahang 3-0 di Padang 2, petang tadi dan unggul mendahului tangga teratas dengan sembilan mata maksimum. Eslisah Esar membuka tirai jaringan pada minit ke-12 sebelum Haindee Mosroh melengkapkan kemenangan bergaya skuad juara bertahan itu pada minit ke-38 dan 72.

Sementara itu, Kedah menjaringkan tiga gol dalam masa lapan minit menerusi jaringan Noor Hartini Jasni (m-43), Nor Adilah Idrus (m-47) dan Mira Fazliana Aidi (m-51) untuk menewaskan Pulau Pinang di Padang 1.

Turut meraih kemenangan pada aksi ketiga Kumpulan B petang tadi ialah pasukan baharu, Kuala Lumpur yang menundukkan Perak 3-0 di Padang 3 menerusi dua jaringan Farahiyah Muhamad Ridzuan (m-5 dan m-25) dan Siti Nur Atiqah Rashid pada minit ke-71 untuk menduduki tempat kedua dengan tujuh mata.

Saingan PTSR 2016 akan bersambung semula untuk perlawanan keempat pada hari Isnin, 11 April ini.

KEPUTUSAN HARI INI

 

KUMPULAN A

 

SABAH 2

Nurul Azurin Mazlan 36’

Usliza Usman 61’

ATM 0

 

SELANGOR 1

Zur’ain Kamarudin 65’

SARAWAK 1

Syamimi Ibrahim 52’

 

PERLIS 1

Zolyn Zulaiqha Mohamad Faudzi 68’

NEGERI SEMBILAN 6

Nor Syazwani Din 5’

Nurul Fatiha Jamal 8’

Farahana Muhamad 13’ 18’

Siti Maziah Mohd Faudzi 33’

Nurulain Afiqah Mohd Yusni 40’

 

KUMPULAN B

 

MISC 3

Eslisah Esar 12’

Haindee Mosroh 38’ 72’

PAHANG 0

 

KUALA LUMPUR 3

Farahiyah Muhamad Ridzuan 5’ 25’

Siti Nur Atiqah Rashid 71’

PERAK 0

 

KEDAH 3

Noor Hartini Jasni 43’

Nor Adilah Idrus 47’

Mira Fazliana Aidi 51’

PULAU PINANG 0

 

JADUAL AKSI KEEMPAT (ISNIN, 11 APRIL 2016)

KUMPULAN A

5.00 petang: Sabah lwn Perlis (Padang 3, UUM)

5.00 petang: Sarawak lwn ATM (Padang 1, UUM)

5.00 petang: Selangor lwn Negeri Sembilan (Padang 2, UUM)

 

KUMPULAN B

8.00 pagi: MISC lwn Kuala Lumpur (Padang 3, UUM)

8.00 pagi: Pulau Pinang lwn Pahang (Padang 1, UUM)

8.00 pagi: Kedah lwn Perak (Padang 2, UUM)