KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022/PIALA ASIA 2023: MALAYSIA 1-2 VIETNAM

2021-06-12

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe tewas 2-1 kepada Vietnam pada perlawanan ketujuh Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, malam tadi.

Kekalahan kedua berturut pada saingan yang dilangsungkan secara venue berpusat di Dubai ekoran pandemik COVID-19 selepas tewas 4-0 kepada UAE, 3 Jun lalu telah menyaksikan peluang skuad Harimau Malaya untuk mara ke Pusingan 3, Kelayakan Piala Dunia 2022 sudah pun tertutup.

Pada aksi malam tadi, skuad Harimau Malaya yang ketinggalan menerusi tandukan Nguyen Tien Linh pada minit ke-27 berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Guilherme de Paula pada minit ke-72 selepas penyerang naturalisasi negara itu sendiri telah dijatuhkan pertahanan lawan.

Namun Vietnam kendalian Park Hang-seo beroleh gol kemenangan pada minit ke-82, juga menerusi sepakan penalti yang disempurnakan ketua pasukan mereka, Que Ngoc Hai selepas Brendan Gan menjatuhkan pemain gantian, Nguyen Van Toan.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia kekal di tangga keempat Kumpulan G dengan sembilan mata, sama mata dengan pasukan di tangga ketiga, Thailand yang tidak beraksi malam tadi.

Sementara UAE yang membelasah Indonesia 5-0 pada satu lagi perlawanan kekal di tangga kedua dengan 15 mata, di belakang pendahulu, Vietnam dengan 17 mata. Indonesia yang sudah melengkapkan kesemua lapan perlawanan berada di tangga kelima dengan 1 mata.

Bagi perlawanan kelapan/terakhir pada Selasa, 15 Jun 2021, Malaysia akan bertemu Thailand bagi merebut tempat ketiga Kumpulan G sementara UAE dan Vietnam pula bakal berentap bagi menentukan juara kumpulan.

 

MALAYSIA: 1. Farizal Marlias (PG); 2. Matthew Davies, 7. Aidil Zafuan Abd Radzak (K), 5. Dion-Johan Cools, 22. La'Vere Corbin-Ong; 14. Syamer Kutty Abba (10. Liridon Krasniqi 77'), 15. Brendan Gan (9. Luqman Hakim Shamsudin 86'), 20. Syafiq Ahmad (12. Nazmi Faiz Mansor 46'); 11. Safawi Rasid (19. Akhyar Rashid 46'), 13. Mohamadou Sumareh (18. Arif Aiman Hanapi 61'), 16. Guilherme de Paula.

VIETNAM: 1. Bui Tan Truong (PG); 2. Do Duy Manh, 3. Que Ngoc Hai (K), 4. Bui Tien Dung; 8. Nguyen Trong Hoang (9. Nguyen Van Toan 79'), 14. Nguyen Hoang Duc, 6. Luong Xuan Truong (17. Vu Van Thanh 56'), 20. Phan Van Duc (7. Nguyen Phong Hong Duy 86'), 5. Doan Van Hau; 22. Nguyen Tien Linh (18. Ha Duc Chinh 79'), 10. Nguyen Cong Phuong (15. Pham Duc Huy 56').

Pengadil: Ryuji Sato (Jepun)