KEPUTUSAN UNDIAN BOLA SEPAK SUKAN SEA 2019 DI MANILA, FILIPINA

2019-10-15

Skuad B-22 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee telah diundi dalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah Filipina, Myanmar, Kemboja dan Timor-Leste bagi acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina, 26 November hingga 9 Disember 2019.

Sementara Kumpulan B pula menampilkan juara bertahan Thailand bersama-sama Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei.

Malaysia pada edisi sebelum ini di Kuala Lumpur 2017 meraih pingat perak selepas tewas 1-0 kepada Thailand pada aksi final di Stadium Shah Alam.

Sukan SEA 2019 di Manila ini merupakan edisi kelima berturut (2011, 2013, 2015, 2017 & 2019) Kim Swee bertindak sebagai pengendali negara bermula dari edisi 2011 yang menyaksikan Malaysia berjaya meraih pingat emas di Jakarta.

"Jika dilihat di atas kertas, memang satu peluang cukup baik untuk kita layak ke peringkat seterusnya.

"Tapi kita tak boleh ambil mudah kerana pasukan lain sudah bersiap lebih awal, terutamanya dengan peraturan dua pemain lebih umur yang pasti akan memberi kekuatan seimbang kepada semua pasukan, lebih-lebih lagi tuan rumah, Filipina.

"Kita tak boleh memikirkan untuk pingat emas buat masa ini. Kita harus memikirkan bagaimana untuk layak ke separuh akhir dan bagaimana untuk kita bermain di separuh akhir dan layak ke final.

"Jadi untuk mendapatkan pingat, memang sasaran kita. Tapi biar kita tumpu terlebih dahulu peringkat kumpulan ini sebelum kita memikirkan lebih jauh," kata Kim Swee mengulas mengenai keputusan undian, hari ini.

Skuad B-22 kebangsaan akan memulakan kem latihan pusat pada 4 November 2019 dan seterusnya mengadakan satu perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan dan satu perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum berlepas ke Manila pada 23 atau 24 November 2019.

"Saya hanya akan putuskan senarai pemain terutama siapa dua pemain lebih umur selepas skuad kebangsaan (kendalian Tan Cheng Hoe) bertemu Indonesia pada 19 November 2019 kerana selepas itu baru saya dapat mengenalpasti pemain-pemain yang dapat menyertai skuad Sukan SEA ini," jelas Kim Swee.

Daripada senarai 20 pemain yang beraksi pada Sukan SEA 2017, hanya tujuh pemain masih berusia 22 tahun dan ke bawah untuk dibawa ke Manila kali ini iaitu penjaga gol, Haziq Nadzli, Syahmi Safari, Syamer Kutty Abba, Danial Amier Norhisham, Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Jafri Firdaus Chew.

 

Sementara itu, skuad bola sepak wanita kebangsaan kendalian Jacob Joseph telah diundi dalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah Filipina dan Myanmar manakala Kumpulan B pula dianggotai Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Acara bola sepak wanita akan berlangsung dari 28 November hingga 9 Disember 2019.