PERSAHABATAN: SHONAN BELLMARE 1-0 MALAYSIA B-22

2016-06-22

Skuad Harimau Malaysia B-22 kendalian Frank Bernhardt menamatkan aksi siri perlawanan persahabatan di Jepun dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Shonan Bellmare di Padang Latihan Shonan Bellmare, Kanagawa, semalam.

Bernhardt membuat beberapa perubahan kepada kesebelasan utama yang telah meraih keputusan seri 3-3 dengan pasukan Liga Divisyen 2 Jepun (J2), Machida Zelvia FC tempoh hari dengan menurunkan Amierul Hakimi Awang, Zulkhairi Zulkeply, Irfan Zakaria dan Safawi Rasid.

Gol tunggal penyerang, Shota Tamura menerusi sepakan penalti pada minit ke-15 permainan sudah mencukupi buat pasukan Liga Divisyen 1 Jepun (J1) yang dibimbing jurulatih dari Korea Selatan, Cho Kwi Jae itu untuk mencatat kemenangan.

Skuad B-22 kebangsaan yang telah menjalani kem latihan di Chiba, Jepun sejak 10 Jun lalu, telah mengharungi dua perlawanan persahabatan dan dijadual pulang ke tanah air pada 28 Jun ini.

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD MALAYSIA B-22, FRANK BERNHARDT

“Perlawanan kita semalam menentang pasukan J1 yang merupakan saingan liga bola sepak peringkat tertinggi di Jepun. Shonan Bellmare turut menurunkan kesebelasan utama yang agak kuat pada separuh masa pertama dan mempamerkan kualiti liga bola sepak mereka.

“Kita bolos satu gol menerusi sepakan penalti di mana selepas sesi analisis video, ia jelas menunjukkan bola tidak terkena tangan pemain kita. Pada separuh masa kedua, pasukan lawan menurunkan barisan pemain muda mereka dan kita berjaya mendapat kembali rentak permainan namun terlepas banyak peluang baik untuk menjaringkan gol. Secara keseluruhannya, keputusan ini adalah keputusan yang baik buat kita yang telah berjaya bersaing dengan pasukan J1.

“Perlawanan-perlawanan persahabatan menentang pasukan-pasukan dari J1 dan J2 membantu pembangunan pemain muda kita kerana kualiti pasukan-pasukan ini adalah lebih tinggi berbanding apa yang kita ada di Malaysia. Kita perlu mengadakan lebih banyak perlawanan-perlawanan seperti ini pada masa hadapan demi pembangunan pasukan kita.”