PIALA FAM: MOF FC YAKIN SENTUHAN ZAHASMI KE LIGA PREMIER 2017

2016-02-26

Meskipun baru ditubuhkan pada tahun 2014, pasukan Kementerian Kewangan (MOF) FC telah menunjukkan prestasi membanggakan apabila menduduki tempat keempat Liga FAM 2015 pada penampilan sulung musim lepas.

Pengurus pasukan, Mohamad Hazwan Zahari berkata, sasaran pasukannya pada saingan divisyen ketiga kebangsaan pada tahun ini ialah untuk layak ke Liga Premier 2017.

“Kami meletakkan sasaran untuk layak ke Liga Premier. Biarpun Piala FAM kali ini menampilkan pasukan-pasukan hebat seperti Felcra FC dan AirAsia Allstars FC (AAFC), kami mahu mencapai peningkatan berbanding pencapaian tempat keempat tahun lepas," kata Hazwan kepada www.fam.org.my, hari ini.

Hazwan turut melahirkan keyakinan tinggi pihak pengurusan pasukan terhadap ketua jurulatih baharu yang juga bekas pengendali sementara skuad Kelantan musim lepas, Zahasmi Ismail untuk merealisasikan impian MOF FC layak ke Liga Premier, musim hadapan.

“Kami berpuas hati dan memiliki keyakinan penuh dengan Zahasmi sebagai ketua jurulatih untuk mencapai visi dan misi pasukan. Kami menaruh harapan yang tinggi terhadap beliau,” jelas Hazwan.

Pengurus yang berusia 34 tahun itu mengakui gandingan muka baharu dan pemain berpengalaman bersedia untuk menggalas cabaran MOF FC pada saingan Piala FAM tahun ini.  

“Saya lihat pemain-pemain berpengalaman dalam pasukan ini berperanan sebagai pembimbing kepada pemain-pemain muda untuk mengharungi Piala FAM pada musim ini,” katanya.

Tiga bekas pemain kebangsaan yang menjadi taruhan The Money musim ini ialah Nizad Ayub, 28, Solihin Kanasian, 33 dan penyerang Rudie Ramli, 34.

MOF FC yang telah diundi dalam Kumpulan B bersama KDMM FC, PKNP FC, PB Melayu Malaysia, Hanelang FC, MPKB-BRI UBES FC, SAMB FC dan UKM FC bakal memulakan aksi sulung pada Ahad ini menentang MPKB-BRI UBES FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.