PIALA PRESIDEN: KELANTAN KEKAL UNGGUL, T-TEAM JARAK MATA

2016-04-22 

Juara bertahan, Kelantan mengekalkan rentak kemenangan untuk terus menguasai tangga teratas Kumpulan A tatkala T-Team mula menjarakkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan B selepas perlawanan kelapan Piala Presiden 2016, petang semalam.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kelantan yang dikemudi jurulatih Hashim Mustapha terus cemerlang dengan rekod tanpa kalah apabila meraih kemenangan keenam menewaskan Sarawak 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

 Kelantan kini mengumpul 20 mata dan diekori pencabar terdekat, Terengganu di tangga kedua dengan 16 mata selepas skuad bimbingan Roshadi Wahab itu berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 menundukkan Perlis di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

 Johor Darul Ta'zim II yang dibimbing Ervin Boban pula naik dua anak tangga ke kedudukan ketiga selepas menewaskan pasukan tercorot, ATM 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang untuk kini mengumpul 14 mata, berkongsi mata dengan Kedah yang seri 1-1 dengan UiTM FC dan Felda United yang seri 0-0 dengan Negeri Sembilan.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, T-Team kendalian Mohd Nafuzi Zain kini berkelebihan empat mata di tangga teratas selepas berjaya menewaskan Sabah 2-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu tatkala penghuni tangga kedua sebelum ini, PDRM tewas 3-0 kepada Pahang di Padang Pulapol.

 Perak naik satu anak tangga ke kedudukan kedua selepas seri 1-1 dengan Kuala Lumpur di Stadium Perak, Ipoh untuk kedudukan Kumpulan B kini menyaksikan T-Team mengumpul 19 mata diikuti Perak 15 mata dan PDRM 14 mata.

 Pulau Pinang naik satu tangga ke kedudukan keempat selepas berjaya menewaskan PKNS FC 2-0 di Stadium Bandaraya manakala Selangor keluar daripada kedudukan tercorot apabila berjaya naik dua anak tangga ke kedudukan kelapan selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka di Padang SUK, Shah Alam.

 Perlawanan kesembilan dan terakhir bagi pusingan pertama akan berlangsung pada Khamis, 28 April 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

KELANTAN 3

Nik Azli Nik Alias 20'

Muhammad Danial Ashraf Abdullah 65'

Mohamad Fikram Mohamad 72'

SARAWAK 1

Iqmal Mustaqkim Kamrodin 87'

 

TERENGGANU 1

Che Mohamad Arif Che Kamarudin 29'

PERLIS 0

 

JOHOR DARUL TA'ZIM III 3

Shahwan Shaharudin 59'

Mohammad Saipul Samsuri 64'

Mohamad Faiz Mohd Isa 74'

ATM 1

Muhammad Zahir Razak 81'

 

UITM FC 1

Muhammad Norhafizani Jailani 3'

KEDAH 1

Som Keat Praseart 82'

 

FELDA UNITED 0

NEGERI SEMBILAN 0

 

KUMPULAN B

 

PULAU PINANG 2

Muhammad Nabil Ramlee 81'

Mohamed Syamer Kutty Abba 90+1'

PKNS FC 0

 

SELANGOR 1

Mohamad Afiq Mohd Azam 29'

MELAKA 0

 

SABAH 0

T-TEAM 2

Mohd Zarulizwan Mazlan 43'

Mohamad Azalinullah Muhamad Alias 78'

 

PDRM 0

PAHANG 3

 

PERAK 1

Muhammad Rizal Che Aziz 83'

KUALA LUMPUR 1

Muhammad Salihan Jamil 87'