PIALA PRESIDEN: KELANTAN, T-TEAM TAMAT PUSINGAN PERTAMA DI TANGGA TERATAS

2016-04-29

Juara bertahan, Kelantan dan T-Team terus mencatat kemenangan pada perlawanan kesembilan Piala Presiden 2016, petang semalam untuk kekal sebagai peneraju tangga teratas Kumpulan A dan B berakhir saingan pusingan pertama.

 Bagi Kumpulan A, Kelantan kendalian Hashim Mustapha berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang pusingan pertama selepas menewaskan Felda United 2-0 di Stadium Mini USIM, Nilai untuk mengumpul 23 mata hasil tujuh menang, dua seri dan belum tewas.

 Terengganu terus mengekori rapat di tangga kedua dengan 19 mata selepas menewaskan Sarawak 1-0 di Stadium Negeri, Kuching diikuti Johor Darul Ta'zim III di tangga ketiga dengan 17 mata selepas skuad kendalian Ervin Boban itu mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perlis di Stadium Mini UniMAP, Pauh.

 Kedah pula kekal di tangga keempat selepas tercicir mata apabila sekadar seri 1-1 dengan Negeri Sembilan di Stadium Mini UUM, Sintok manakala UiTM FC berjaya menewaskan pasukan tercorot ATM 1-0 di Stadium Mindef, Kuala Lumpur.

 Bagi saingan Kumpulan B, T-Team yang dibimbing Mohd Nafuzi Zain kekal berkelebihan empat mata di tangga teratas menerusi kemenangan 2-0 ke atas PDRM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu selepas pasukan tangga kedua, Perak turut meraih kemenangan menewaskan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

 Selepas sembilan perlawanan, T-Team mengumpul 22 mata diikuti Perak dengan 18 mata manakala PDRM kekal di tangga ketiga dengan 14 mata dan Pulau Pinang keempat dengan 12 mata.

 Melaka pula naik ke tangga kelima selepas berjaya menewaskan Sabah 1-0 di Stadium Hang Tuah manakala Selangor kendalian Omar Ali naik satu kedudukan ke tangga ketujuh selepas menewaskan PKNS FC 1-0 di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

 Satu lagi perlawanan menyaksikan Kuala Lumpur keluar daripada kedudukan tercorot selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang di Padang Majlis Daerah Rompin, Muadzam Shah.

 Perlawanan sulung pusingan kedua iaitu perlawanan ke-10 akan berlangsung pada Isnin, 2 Mei 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

FELDA UNITED 0

KELANTAN 2

Muhammad Danial Ashraf Abdullah 47'

Wan Muhammad Azam Mazlan 80'

 

SARAWAK 0

TERENGGANU 1

Dhiyaulrahman Mohd Hasry 90+2'

 

PERLIS 0

JOHOR DARUL TA'ZIM III 1

Mohammad Fahmi Faizal 50'

 

ATM 0

UITM FC 1

Wan Mohamad Fatah Wan Ali 15'

 

KEDAH 1

Mohd Irwan Syazmin Wahab 90+6'

NEGERI SEMBILAN 1

Sean Eugene Selvaraj 61'

 

KUMPULAN B

 

PERAK 2

G Ganiesh 4'

Muhammad Amirul Waie Yaacob 89'

PULAU PINANG 1

Muhammad Nabil Ramlee 8'

 

PKNS FC 0

SELANGOR 1

Muhammad Faizzudin Mohd Abidin 39'

 

MELAKA 1

Nazarudin Bohri 11'

SABAH 0

 

T-TEAM 2

Muhamad Akram Asidi 44' 72'

PDRM 0

 

PAHANG 0

KUALA LUMPUR 1

Muhamad Arif Anwar 36'