SIARAN MEDIA: PERLAWANAN MENENTANG YEMEN BATAL; HARIMAU MALAYA TUKAR LAWAN PAPUA NEW GUINEA

2023-05-31

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di antara skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon menentang Yemen yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 20 Jun 2023 terpaksa dibatalkan.

Ia selepas FAM menerima surat makluman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Yemen (YFA) pada jam 5.00 petang semalam (Selasa, 30 Mei 2023) yang menyatakan hasrat membatalkan perlawanan tersebut atas alasan ketiadaan pemain utamanya kerana menyertai skuad B-23 negara berkenaan ke West Asian Championship di Iraq.

Pembatalan saat akhir daripada pihak YFA ini sekali gus memaksa FAM perlu mencari segera pasukan pengganti sesuai dalam masa yang agak suntuk dengan pilihan terhad memandangkan kebanyakan pasukan lain sudah mempunyai lawan masing-masing pada kalendar FIFA kali ini.

Selepas menghubungi beberapa pasukan, FAM akhirnya telah berjaya mendapat persetujuan daripada Papua New Guinea sebagai pasukan pengganti untuk bertemu skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa, 20 Jun 2023.

Terdahulu skuad Harimau Malaya akan berdepan pasukan di ranking ke-134 dunia, Kepulauan Solomon bagi satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu, 14 Jun 2023.

Sebagai rekod, Yemen di kedudukan ranking ke-157 dunia manakala Papua New Guinea ke-159 dunia, berbanding Malaysia ke-138 dunia.

 

Noor Azman Hj Rahman

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Rabu, 31 Mei 2023