SIARAN MEDIA: SENARAI 28 PEMAIN KE KEM LATIHAN PUSAT SKUAD HARIMAU MALAYA DARI 22 HINGGA 30 MAC 2021

2021-03-15

Berikut senarai nama 28 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selama sembilan hari di Johor Bahru, Johor bermula Isnin, 22 Mac 2021 hingga Selasa, 30 Mac 2021.

Ia sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan diadakan secara berpusat di UAE yang mana Malaysia dijadual bertemu UAE pada 3 Jun, Vietnam pada 11 Jun dan Thailand pada 15 Jun 2021.

Daripada senarai tersebut, Cheng Hoe masih mengekalkan seramai 17 pemain dari skuad 23 pemain Harimau Malaya bagi dua aksi terakhir kelayakan sebelum ini iaitu bertemu Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 dan 19 November 2019.

Sementara baki enam pemain lain tidak disenaraikan bagi kem latihan pusat kali ini iaitu penjaga gol Haziq Nadzli, Dominic Tan, Syazwan Andik Ishak, Baddrol Bakhtiar, Azzizan Nordin serta Safawi Rasid yang mengalami kecederaan pada aksi Liga Super 2021, Johor Darul Ta’zim FC bertemu UiTM FC, Sabtu lalu.

Bagi melengkapkan senarai 28 pemain yang dipanggil kali ini, Cheng Hoe telah menyenaraikan 11 pemain baharu iaitu dua penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC) dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC); Rizal Ghazali (Kedah Darul Aman FC), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur City FC), Fazly Mazlan (Sri Pahang FC), Faisal Halim (Terengganu FC), Nazmi Faiz Mansor (Johor Darul Ta’zim FC), Ramadhan Saifullah Usman (Johor Darul Ta’zim FC), Shahrel Fikri Md Fauzi (Selangor FC), Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk) dan pemain naturalisasi terbaharu negara, Guilherme de Paula (Perak FC).

"Saya tidak memanggil dua lagi pemain yang beraksi di kelab luar negara iaitu Liridon Krasniqi (Newcastle Jets) dan Junior Eldstal (Chonburi FC) kerana tempoh kuarantin untuk masuk ke Malaysia dan kembali ke Australia dan Thailand menjadi kesukaran untuk mereka menyertai kem latihan pusat kali ini.

"Lagipun kedua-dua pemain ini saya lihat sedang meningkatkan persembahan dan prestasi masing-masing bersama kelab baharu mereka ini.

"Jadi saya kira lebih baik mereka menyertai kem latihan pusat pada Mei nanti dengan prestasi yang lebih baik selepas mendapat aksi minit permainan di Liga Australia dan Liga Thailand.

"Bagi Luqman Hakim pula, memang dari tahun lepas kita rancang nak panggil dia sertai kem latihan pusat ini. Jadi ini peluang terbaik untuk kita melihat tahap fizikal, keyakinan dan corak permainannya selepas lebih enam bulan bersama KV Kortrijk di Belgium," kata Cheng Hoe.

Dalam pada itu, enam pemain diletakkan dalam senarai menunggu, jika terdapat mana-mana daripada 28 pemain yang berada dalam senarai dipanggil kali ini disahkan mengalami kecederaan oleh doktor pasukan.

Mereka terdiri daripada penjaga gol, Samuel Somerville (Penang FC), Rodney Celvin Akwensivie (Kedah Darul Aman FC), Arif Fadzilah Abu Bakar (Terengganu FC), Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC), S. Kumaahran (Melaka United FC) dan Darren Lok (PJ City FC).

Cheng Hoe turut menyatakan bahawa kemudahan lengkap yang dimilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi faktor utama kem latihan pusat kali ini diadakan di Johor Bahru.

"Kem latihan pusat di Johor Bahru kali ini pastinya akan dapat membantu kami untuk mempersiapkan pasukan dengan lebih baik bagi menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan memandangkan JDT memiliki kemudahan pusat latihan bertaraf dunia yang mana ia adalah yang terbaik untuk bola sepak di negara ini.

"Pusat latihan mereka merupakan sebuah pusat latihan berprestasi tinggi dan sudah tentu saya mengharapkan sesuatu yang terbaik dapat dihasilkan oleh skuad kebangsaan kerana persiapan bagi tiga perlawanan terakhir ini cukup penting. Pusat Latihan JDT ini juga memiliki pusat kecergasan dan perubatan mereka sendiri, selain dapat memenuhi keperluan untuk latihan diadakan dalam pelbagai jenis permukaan padang dan ia terletak berdekatan dengan hotel penginapan pasukan.

"Dengan mengambil kira pandemik COVID-19 yang telah mengganggu persiapan kami sejak lebih setahun lalu, skuad Harimau Malaya sudah tentu memerlukan setiap kelebihan yang ada dalam persiapan yang cukup singkat ini dan semuanya dapat kami lakukan di pusat latihan yang serba lengkap ini," ujar Cheng Hoe.

Pengendali berusia 53 tahun itu turut menjelaskan bahawa tempoh sembilan hari bagi kem latihan pusat kali ini penting untuk meningkatkan semula persefahaman para pemainnya sama ada di dalam dan juga di luar padang.

"Ini masa terbaik untuk kami fokus terhadap persiapan pasukan kerana apabila kami berkumpul pada Mei nanti, kita dah tak ada banyak masa untuk latihan kerana perlu fokus dengan persiapan tiga perlawanan terakhir kelayakan.

"Jadi kesempatan selama sembilan hari yang ada ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk memberitahu kepada para pemain tentang perancangan kita pada Mei nanti dan apabila mereka datang ke kem latihan pusat pada Mei, semua sudah bersedia dan benar-benar fokus untuk aksi bertemu UAE, Vietnam dan Thailand itu," jelas Cheng Hoe.

 

 

SENARAI 28 PEMAIN KE KEM LATIHAN PUSAT SKUAD HARIMAU MALAYA DARI 22 HINGGA 30 MAC 2021

 

BIL

 NAMA

UMUR

PASUKAN

1.

 MOHD FARIZAL MARLIAS

35

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

2.

 MATTHEW DAVIES

26

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

3.

 MOHAMAD AIDIL ZAFUAN ABD RADZAK

34

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

4.

 ADAM NOR AZLIN

25

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

5.

 LA’VERE CORBIN-ONG

30

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

6.

 MUHAMMAD RAMADHAN SAIFULLAH USMAN

21

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

7.

 MOHAMED SYAMER KUTTY ABBA

24

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

8.

 MOHD AFIQ FAZAIL

27

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

9.

 MUHAMMAD DANIAL AMIER NORHISHAM

24

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

10.

 MUHAMMAD NAZMI FAIZ MANSOR

27

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

11.

 MUHAMMAD AKHYAR ABDUL RASHID

22

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

12.

 MOHAMADOU SUMAREH

27

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

13.

 MUHAMMAD SYAFIQ AHMAD

26

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

14.

 MOHD KHAIRULAZHAN MOHD KHALID

32

SELANGOR FC

15.

 MUHAMMAD SYAHMI SAFARI

23

SELANGOR FC

16.

 BRENDAN GAN

33

SELANGOR FC

17.

 MUHAMMAD SHAHREL FIKRI MD FAUZI

27

SELANGOR FC

18.

 MUHAMMAD RAHADIAZLI RAHALIM

20

TERENGGANU FC

19.

 MOHAMAD FAISAL ABDUL HALIM

23

TERENGGANU FC

20.

 SHAHRUL MOHD SAAD

28

PERAK FC

21.

 GUILHERME DE PAULA LUCRECIO

35

PERAK FC

22.

 MUHAMMAD FAZLY MAZLAN

28

SRI PAHANG FC

23.

 MUHAMAD NOR AZAM ABDUL AZIH

26

SRI PAHANG FC

24.

 KHAIRUL FAHMI CHE MAT

32

MELAKA UNITED FC

25.

 MOHD RIZAL MOHD GHAZALI

29

KEDAH DARUL AMAN FC

26.

 MUHAMMAD IRFAN ZAKARIA

26

KUALA LUMPUR CITY FC

27.

 LUQMAN HAKIM SHAMSUDIN

19

KV KORTRIJK (BELGIUM)

28.

 NORSHAHRUL IDLAN TALAHA

35

SARAWAK UNITED FC

 

KEMAS KINI 23 MAC 2021

Tan Cheng Hoe telah memanggil pemain pertahanan kiri Terengganu FC, Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar @ Muhammad sebagai pemain ke-29 bagi kem latihan pusat kali ini.

 

KEMAS KINI 24 MAC 2021

Dua pemain - Fazly Mazlan (Sri Pahang FC) dan Mohamadou Sumareh (JDT) telah dilepaskan pulang selepas penilaian lanjut ke atas tahap kecederaan dialami mereka pada aksi Liga Super 2021 pada 21 Mac 2021 menjadikan baki pemain yang tinggal menjadi 27 orang.