16 PASUKAN SERTAI EDISI SULUNG MPF 2019

2019-01-25

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin mengumumkan bahawa 16 pasukan telah mengesahkan penyertaan bagi pertandingan Malaysia Professional Futsal (MPF) 2019 yang akan berlangsung selama tujuh bulan dari April hingga Oktober 2019.

MPF 2019 merupakan edisi sulung saingan liga futsal profesional peringkat kebangsaan bagi menggantikan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) yang dianjurkan FAM sebelum ini.

Ia antara yang terkandung dalam Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM 2019-2030 yang dinamakan F:30 iaitu salah satu teras utama - Pertandingan iaitu di bawah kategori futsal bagi menganjurkan liga futsal profesional di peringkat kebangsaan.

Bagi MPF 2019, kategori lelaki bakal menampilkan 10 pasukan terdiri daripada Kedah, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Sarawak, Selangor, Terengganu dan pasukan jemputan berstatus kelab dari penyertaan LFK 2018 iaitu KL City FC.

Kategori wanita pula membariskan 6 pasukan iaitu Kedah, Kuala Lumpur, Melaka, Perak, Perlis dan Selangor.

Saingan MPF 2019 akan berlangsung secara liga dua pusingan iaitu setiap pasukan akan beraksi sebanyak 18 perlawanan (9 tempat sendiri & 9 tempat lawan) bagi kategori lelaki dan sebanyak 10 perlawanan setiap pasukan (5 tempat sendiri & 5 tempat lawan) bagi kategori wanita.

Pasukan yang menduduki tangga teratas setiap kategori akan diumum sebagai juara MPF 2019 bagi kategori lelaki dan wanita.

Menariknya untuk saingan MPF 2019, setiap pasukan perlu mendaftar antara 14 hingga 25 pemain (warganegara Malaysia sahaja) yang mana lima orang daripadanya wajib berusia 20 tahun dan ke bawah.

Tempoh pendaftaran pemain masih lagi dibuka sehingga 1 Mac 2019.