BANYAK PELUANG SUDAH DIBERIKAN FAM KEPADA FELDA UNITED UNTUK LULUS LESEN KELAB FAM

2017-12-05

Saya ingin menegaskan di sini bahawa kegagalan Felda United untuk mendapatkan Lesen Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukan hanya disebabkan tertinggal cop sahaja seperti yang didakwa sumber kelab berkenaan dalam media, semalam.

Sebaliknya, kegagalan Felda United mendapatkan Lesen Kelab FAM itu adalah disebabkan mereka masih tidak dapat memenuhi salah satu daripada enam kriteria wajib yang ditetapkan iaitu kewangan biarpun sudah diberi banyak peluang dan tempoh masa sewajarnya bagi melengkapkannya.

Untuk pengetahuan, selepas First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM pada 24 Ogos 2017 memutuskan Felda United antara lima pasukan yang gagal mendapatkan Lesen Kelab FAM, mereka telah diberi ruang, peluang dan khidmat nasihat secukupnya bagi melengkapkan segala dokumen tidak lengkap yang diperlukan itu.

Pada 28 September 2017, pegawai kewangan dari Felda United sendiri telah dipanggil untuk mengadakan pertemuan dengan Badan Rayuan (AB) Pelesenan Kelab FAM bagi memberitahu kepada kelab berkenaan, apa yang diperlukan serta apa yang perlu mereka lakukan bagi memastikan Lesen Kelab FAM berjaya juga untuk diperoleh.

Susulan pertemuan itu, FAM pada 2 Oktober 2017 telah menghantar surat secara hitam putih bagi menyatakan dengan lebih jelas bahawa Felda United perlu melengkapkan dua kriteria berikut:

* F.01 iaitu Penyata Kewangan Tahunan yang diaudit untuk tahun 2016 perlu memenuhi keperluan pendedahan minimum dan prinsip perakaunan. Ia turut perlu dilengkapi dengan review kewangan oleh pengurusan.

* F.02 iaitu Penyata Kewangan Untuk Tempoh Interim yang direview bagi tempoh dari 1 Januari 2017 hingga 30 Jun 2017 yang perlu memenuhi keperluan pendedahan minimum dan prinsip perakaunan. Ia juga perlu direview atau diaudit oleh juruaudit bebas serta mesti merangkumi review kewangan oleh pengurusan.

Tempoh yang diberikan kepada Felda United ialah sehingga jam 12.00 tengah hari pada 16 Oktober 2017, iaitu dua minggu dari tarikh surat berkenaan.

Felda United hanya membalas surat berkenaan dengan disertakan dokumen-dokumen yang diminta pada jam 11.58 pagi pada 16 Oktober 2017, iaitu dua minit sebelum tarikh tutup ditetapkan dengan keperluan F.01 berjaya dilengkapi seperti apa dikehendaki.

Namun keperluan F.02 gagal juga untuk dilengkapi apabila beberapa perkara tidak memenuhi apa yang diperlukan seperti mana telah diberitahu. Bukan semata-mata hanya kerana tertinggal cop.

Maka jelas di sini, Felda United sendiri yang seolah-olah bersikap sambil lewa, tidak serius, tidak bersungguh-sungguh serta turut tidak menghormati FIB & AB Pelesenan Kelab FAM kerana segala nasihat dan garis panduan diberi tetap tidak dapat membantu mereka untuk menyelesaikan keperluan diperlukan bagi mendapatkan Lesen Kelab FAM.

Dengan pengumuman dibuat FMLLP, hari ini bahawa Felda United diturunkan ke Liga Premier 2018 kerana gagal mendapatkan Lesen Kelab FAM, ia secara tidak langsung membuktikan bahawa apa juga keputusan dibuat FAM adalah berdasarkan peraturan, bukannya satu penganiayaan atau pilih kasih seperti yang didakwa.

Apa yang berlaku ini sebenarnya boleh dijadikan iktibar dan pengajaran untuk pasukan terbabit serta pasukan-pasukan lain supaya tidak bersikap sambil lewa atau tidak serius dalam memenuhi enam kriteria yang ditetapkan bagi mendapatkan Lesen Kelab FAM bagi membolehkan mereka layak beraksi di Liga Super.

Bagi pihak FAM, kita mahu memastikan sesebuah kelab atau pasukan itu bukan semata-mata hanya memberi tumpuan penuh bagi mendapatkan pemain-pemain yang berkualiti tetapi sepatutnya turut fokus dari aspek pengurusan dan kewangan supaya seiring profesional. Ini juga sebenarnya salah satu tujuan utama pelesenan kelab.

 

Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)