BERI MASA & PERCAYA KEPADA TUNKU ISMAIL, VINGADA

2017-06-16

Saya terpanggil untuk memberi kenyataan berhubung beberapa laporan media semalam yang seolah-olah menyalahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan juga jurulatih kebangsaan yang baharu, Nelo Vingada di atas kekalahan skuad Harimau Malaya kepada Lebanon 2-1 pada perlawanan sulung Kelayakan Piala Asia 2019 di Larkin, Selasa lalu.

 Adalah tidak adil untuk membuat penilaian terhadap Tunku Ismail yang memasuki hari ke-83 memimpin FAM dan Vingada pula yang baru tiga minggu mengendalikan skuad kebangsaan hanya berdasarkan satu kekalahan pada aksi pertama sejak bermulanya era baharu FAM di bawah pentadbiran baginda.

 Sebaliknya banyak perkara positif serta pembaharuan lain yang telah dilakukan oleh Tunku Ismail dalam tempoh hampir tiga bulan pertama ini bagi merevolusikan FAM seperti telah dilupakan begitu saja hanya semata-sama keghairahan pihak tertentu yang mahu menjadikan kekalahan kepada Lebanon tempoh hari sebagai sasaran untuk menuding jari kepada Tunku Ismail dan juga Vingada yang baru dilantik baginda bagi mengemudi skuad Harimau Malaya.

 Jika diimbas semula, banyak sebenarnya yang sudah dilakukan Tunku Ismail sejak hari pertama baginda menjadi Presiden FAM, antaranya menyusun semula sistem organisasi persatuan supaya lebih efektif, membawa masuk seorang jurulatih berpengalaman dan berprofil tinggi dari luar negara iaitu Vingada bagi meningkatkan kualiti skuad kebangsaan, mengadakan mesyuarat exco di setiap negeri bermula di Sabah bagi mendekatkan hubungan FAM dan ahli-ahli gabungan, mengadakan sesi dialog bersama penyokong bagi mendengar segala permasalahan mereka serta kemudahan termoden untuk kegunaan latihan skuad Harimau Malaya dan terbaharu, baginda turut mengurniakan sebuah bas baharu bagi kegunaan skuad Harimau Malaya. Banyak lagi yang akan menyusul selepas ini.

 Justeru diharap agar semua pihak, tidak kiralah sama ada media dan juga penyokong serta peminat bola sepak tanah air supaya kita sama-sama memberi sokongan tidak berbelah bagi dan sentiasa bersikap positif serta sabar untuk sama-sama melihat hasil terhadap usaha Tunku Ismail dalam mengembalikan kegemilangan dan maruah bola sepak Malaysia di persada antarabangsa.

 Saya yakin dan percaya, hanya segelintir saja sebenarnya yang sering mengecam serta sentiasa mencari salah Tunku Ismail dan juga FAM terutama di media sosial, sebaliknya secara realiti masih berjuta rakyat Malaysia di luar sana yang terus menyokong dan berkeyakinan tinggi dengan kepimpinan Tunku Ismail untuk membawa FAM dan bola sepak Malaysia ke arah yang lebih gemilang seperti mana laungan semangat yang sering kedengaran iaitu #InTMJWeTrust.

 Beri Tunku Ismail dan juga Vingada masa membentuk skuad Harimau Malaya untuk menjadi lebih mantap dari semasa ke semasa yang mana saya yakin kita akan menikmati hasilnya dalam tempoh setahun dua ini.

 

Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)