BERNHARDT ANGGAP AKSI PERSAHABATAN PENTAS UJIAN BUAT SKUAD PROJEK SUKAN SEA 2017

2016-03-15

Pengendali skuad Projek Sukan SEA 2017, Frank Bernhardt mahu pemain-pemainnya fokus terhadap corak permainan yang bakal ditampilkan pada aksi persahabatan menentang Flipina B-22 (23 Mac) dan Nepal (27 Mac) kelak.

“Saya berharap pemain-pemain akan dapat mempraktikkan corak permainan yang ingin kami terapkan. Walaupun keputusan perlawanan adalah penting, saya mahu pemain-pemain lebih tertumpu kepada aplikasi taktikal dan teknik seperti yang dijalankan di dalam latihan.

“Buat masa sekarang, pasukan kami masih belum lengkap di mana masih ada pemain terbabit dengan aksi Piala FA minggu ini. Jadi, tidak banyak boleh kami lakukan dalam latihan,” kata pengendali Jerman itu pada hari pertama latihan pusat skuad Projek Sukan SEA 2017 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, petang tadi.

18 pemain hadir melapor diri pada hari pertama sesi latihan pusat skuad Projek Sukan SEA 2017 antaranya - Dominic Tan Jun Jin, Rodney Akwensivie dan dua pemain Pulau Pinang, S. Kumaahran dan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew.

Sementara itu, pemain sayap Pahang, Mohamad Faisal Abdul Halim terpaksa digugurkan dari senarai kerana mengalami kecederaan hamstring dan bakal digantikan oleh pemain Johor Darul Ta’zim II, Mohd Syazwan Andik.

Amierul Hakimi Awang, Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar dan Mohamad Raphi Azizan Mariappen akan melapor diri pada 16 Mac (Rabu) disusuli pemain Selangor, Adam Nor Azlin selepas aksi Piala AFC 2016 menentang Sheikh Jamal pada 17 Mac (Khamis).

Empat pemain dari Kedah akan melapor diri pada Sabtu ini selepas selesai tugasan suku akhir pertama Piala FA menentang Sabah pada Jumaat.

Muhammad Haziq Nadzli dari PDRM dan dua pemain Perak pula hanya akan melapor diri pada Ahad ini selepas selesai tugasan suku akhir pertama Piala FA masing-masing pada Sabtu untuk melengkapkan senarai 30 pemain yang dipanggil.