CHUN YONG KEKAL OPTIMISTIK

2016-10-22

Ketua jurulatih skuad futsal Harimau Malaysia, Chiew Chun Yong kekal optimistik meskipun berdepan tugas mencabar untuk memastikan pemain-pemain bersedia dari segenap segi setelah Kejuaraan Piala AFF yang sepatutnya berlangsung bulan ini di Thailand telah dibatalkan.

Chun Yong yang menggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih pasukan futsal kebangsaan sejak sebulan lalu menggantikan pengendali dari Brazil, Marcelo Serpa menyifatkan anak buahnya memerlukan lebih masa dan perlawanan kompetitif bagi menyesuaikan diri dengan sistem taktikalnya.

Kita telah melalui beberapa perlawanan persahabatan pada kem latihan pusat kali ini yang membolehkan saya untuk melihat kesesuaian para pemain dengan pembaharuan yang saya lakukan.

"Saya juga telah memperkenalkan sistem dan taktikal latihan yang baru kepada pemain-pemain, saya dapat saksikan ramai pemain yang mempunyai kesukaran untuk menerimanya. Untuk berlaku adil kepada mereka, mereka memerlukan lebih masa dan menyertai pertandingan untuk mempraktikkannya,” kata Chun Yong kepada www.fam.org.my.

Pengendali berusia 43 tahun itu pada masa yang sama turut melahirkan keyakinan terhadap keupayaan penolong jurulatih baharunya, bekas pemain futsal kebangsaan, Jasman Patmee Meera yang menggantikan Zul’azmi Zulkifli.

“Zul’azmi meletakkan jawatan kerana komitmen kerja. Beliau tidak menjangkakan jadual latihan yang sebegitu padat (satu setengah tahun) tambahan pula majikan beliau turut tidak memberi pelepasan.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk menggantikan beliau dengan Jasman Patmee. Dari pemerhatian saya, Jasman mempunyai latar belakang teknikal yang bagus sebagai seorang bekas pemain futsal kebangsaan dan pemain-pemain menghormati beliau.”

Skuad futsal kebangsaan yang telah melalui kem latihan pusat fasa pertama sejak 19 September lalu hingga semalam (Jumaat) dijadual bakal menjalani latihan fasa kedua pada November ini.