CHUN YONG PERTARUH 7 PEMAIN MUDA HADAPI KEJUARAAN FUTSAL AFF 2016 DI BANGKOK, 23-29 JANUARI 2017

2016-12-28

Ketua jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong membariskan sehingga tujuh pemain muda berusia bawah 22 tahun dalam barisan 16 pemain yang dipanggilnya untuk kem latihan pusat skuad futsal Harimau Malaysia sejak 22 Disember lalu bagi menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2016 di Bangkok, Thailand dari 23 hingga 29 Januari 2017.

 Tujuh pemain berkenaan ialah Muhammad Azri Rahman, 22, (Felda United), Mohd Ridzwan Bakri, 22, (Sabah), Syed Aizad Daniel Syed Nasir, 20, (MPSJ), Muhammad Aidil Shahril Rosli, 19, (MPSJ), Muhammad Amirul Sugito, 19, (Kuala Lumpur), Muhammad Ikhmal Firdaus, 19, (PBMM B-19) dan Mohd Awalludin Mat Nawi, 18, (Perak).

 Amirul dan Awalludin dipanggil menggantikan tempat dua pemain Selangor, Mohamad Fadzil Ab Karnim, 29, dan Mohd Ridhwan Zainal, 28, yang pada asalnya berada dalam senarai pemain dikeluarkan pada 5 Disember lalu manakala Ikhmal dipanggil menggantikan Nik Akif Syahiran Nik Mat, 17, yang telah menyertai pasukan bola sepak Piala Belia FELDA United FC.

 "Pertukaran yang saya lakukan ini adalah sebahagian daripada proses pembangunan masa depan pasukan. Saya tidak mahu menggunakan majoriti pemain senior kerana mengikut perancangan, saya mahu gabungan pemain senior dan muda dalam pasukan ini.

 "Saya rasa masanya sudah tiba untuk kita melakukan perubahan dengan memberi lebih peluang kepada pemain-pemain muda. Saya memerlukan pemain yang lebih pantas kerana strategi saya lebih banyak menerapkan 'high pressing' dan 'high intensity', bukannya 'zonal marking',” kata Chun Yong kepada www.fam.org.my, hari ini.

 Selain tujuh pemain muda berkenaan, baki sembilan pemain lain terdiri daripada Muhammad Awaluddin Hassan, 25, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin, 29, Saiful Aula Ahmad, 24, (Selangor), Azrul Hadee Mohd Taufiq, 29, Saiful Nizam Mohamad Ali, 25, Mohd Azwann Ismail, 24, Abu Haniffa Hassan, 25, (Felda United), Mohd Firdaus Razali, 32, (MPSJ) dan Akmarulnizam Mohd Idris, 25, (Pahang).

 "Pemain-pemain senior yang dipanggil ini masih diperlukan khidmat mereka untuk membimbing para pemain muda. Ini kerana kita tidak mempunyai latihan secara konsisten. Jika kita ada tempoh latihan jangka masa panjang, saya rasa kita boleh senaraikan sehingga 80 peratus pemain muda dalam pasukan," jelas Chun Yong.

 Ditanya sasaran bagi kejohanan kali ini, Chun Yong berkata: "Setiap kali menyertai kejohanan, kita mesti menetapkan sasaran, tidak kiralah sama ada pasukan kita tidak melakukan persiapan rapi atau tiada saingan liga domestik buat masa ini. Kita tak boleh sekadar datang untuk mengambil bahagian.

 "Jadi untuk kejohanan kali ini, sasaran kita ialah untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir."

Skuad futsal Harimau Malaysia bakal membuka kempen saingan Kumpulan B di Bangkok nanti bertemu Indonesia pada 23 Januari diikuti aksi kedua bertemu Laos (24 Januari) dan aksi ketiga bertemu Myanmar (25 Januari).

 Jika layak ke separuh akhir, mereka akan bertemu pasukan dari Kumpulan A yang terdiri daripada Thailand, Brunei dan Timor-Leste pada 27 Januari untuk memburu tempat ke pentas final pada 29 Januari. - FAM

 

SENARAI 16 PEMAIN UNTUK KEM LATIHAN PUSAT MENJELANG KEJUARAAN FUTSAL AFF 2016 DI BANGKOK, 23-29 JANUARI 2017

 

BIL

NAMA

UMUR

PASUKAN

1.

MUHAMMAD AWALUDDIN HASSAN

25

SELANGOR

2.

MOHD KHAIRUL EFFENDY MOHD BAHRIN

29

SELANGOR

3.

SAIFUL AULA AHMAD

24

SELANGOR

4.

AZRUL HADEE MOHD TAUFIQ

29

FELDA UNITED

5.

SAIFUL NIZAM MOHAMAD ALI

25

FELDA UNITED

6.

MOHD AZWANN ISMAIL

24

FELDA UNITED

7.

MUHAMMAD AZRI RAHMAN

22

FELDA UNITED

8.

ABU HANIFFA HASSAN

25

FELDA UNITED

9.

MOHD FIRDAUS RAZALI

32

MPSJ

10.

SYED AIZAD DANIEL SYED NASIR

20

MPSJ

11.

MUHAMMAD AIDIL SHAHRIL ROSLI

19

MPSJ

12.

AKMARULNIZAM MOHD IDRIS

25

PAHANG

13.

MOHD RIDZWAN BAKRI

22

SABAH

14.

MUHAMMAD AMIRUL SUGITO

19

KUALA LUMPUR

15.

MOHD AWALLUDIN MAT NAWI

18

PERAK

16.

MUHAMMAD IKHMAL FIRDAUS

19

PBMM B-19