Dato’ Hamidin tekad perbaiki ranking Malaysia

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Dato’ Hamidin Mohd Amin sebagai pengurus baharu pasukan Harimau Malaya bagi menggantikan Datu Sudarsono Osman yang telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan pada bulan Mac lepas.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuanku Presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) dan juga exco (Jawatankuasa Eksekutif FAM) kerana memberi kepercayaan terhadap saya bagi menggantikan Datu Sudarsono yang terpaksa melepaskan jawatan kerana kekangan masa yang dihadapinya,” kata Dato' Hamidin.

Setiausaha Agung FAM itu sebelum ini adalah penolong pengurus kepada Datu Sudarsono dan tugasan sulung mereka menyaksikan kejayaan skuad bimbingan ketua jurulatih Dollah Salleh untuk muncul sebagai naib juara Piala AFF Suzuki 2014.

“Tanggungjawab ini berat kerana kita dapat lihat peminat inginkan pasukan berjaya, jadi saya dan barisan pemain Dollah dan pegawai lain akan membuat yang terbaik. Ketika belum memegang jawatan ini pun saya sudah ada iltizam untuk membawa Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia di UAE pada 2019,” katanya lagi.

Dato’ Hamidin juga menegaskan bahawa antara misi utamanya adalah untuk memperbaiki ranking FIFA Malaysia yang kini di tangga 166 dengan usahasama barisan jurulatih skuad kebangsaan dan juga Pengarah Teknikal, Fritz Schmid.

“Dollah bersama barisan jurulatih juga telah kita hantar ke Jepun sebagai satu persediaan. Selain itu, sudah tentu saya nak memperbaiki ranking kita dan tak nak turun lagi daripada tangga ke-166.”

“Tuanku Presiden dan exco (Jawatankuasa Eksekutif FAM) inginkan saya melantik penolong pengurus yang berlatarbelakangkan bekas pemain Malaysia. Saya masih lagi memikirkan kemungkinan untuk melantik dua orang penolong pengurus – dari segi menguruskan hal ehwal kebajikan dan juga isu teknikal pasukan yang akan dapat membantu menaikkan semangat pemain-pemain.” ujarnya lagi.

J Category: 
uncategorised7