DATO' HAJI HAMIDIN TERPILIH SEBAGAI AHLI JAWATANKUASA EKSEKUTIF AFC BAGI PENGGAL 2019-2023

2019-04-06

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin terpilih sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Kongres AFC ke-29 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dato’ Haji Hamidin, 53, adalah antara tiga ahli antara zon Asean yang dipilih selain Chris Nikou dari Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) dan Dr Tran Quoc Tuan dari Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) untuk mengisi tiga slot zon berkenaan. Mereka menang tanpa bertanding selepas calon dari Singapura, Winston Lee, menarik diri pada saat akhir.

Ahli exco lain yang terpilih untuk penggal 2019-2023 ialah Abed-Alkhaliq Masoud Ahmed (Iraq); Hachem Haider (Lebanon); Sheikh Salem Said Salem Al Wahaibi (Oman); Dr Hamid Mohammed Ali Al-Shaibani (Yemen) dari Zon Barat, Sayed Ali Reza Aghazada (Afghanistan – Zon Tengah), Dasho Ugen Tsechup Dorji (Bhutan – zon Selatan) dan Eric Fok Kai Shan Eric (Hong Kong – Zon Timur).

Dato’ Haji Hamidin berkata:

“Ini penghormatan buat FAM dan Malaysia amnya. Saya berharap untuk bukan sahaja mewakili suara Malaysia dan Asean di AFC tetapi turut membina hubungan lebih erat dengan rakan-rakan persatuan yang juga ahli gabungan AFC dalam misi menaikkan lagi standard bola sepak kita. “

Pemilihan Dato’ Haji Hamidin memastikan tradisi pemimpin FAM dalam AFC menerusi pelbagai kapasiti berterusan sejak Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj terpilih selaku Presiden AFC di Tokyo tanggal 29 Mei, 1958.

Dalam Kongres AFC ini, Presidennya, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa dari Bahrain mengekalkan jawatan presidennya tanpa bertanding selepas penarikan diri Mohamed Khalfan Matar Saeed Al Romaithi (UAE) dan Saoud A. Aziz M A Al-Mohannadi (Qatar).

Hadir ke Kongres AFC ialah Presiden FIFA Gianni Infantino dan Setiausaha Agung FIFA, Fatma Samoura.