DATO' HAMIDIN PUJI DISIPLIN PENYOKONG KELANTAN

KENYATAAN RASMI: DATO' HAMIDIN PUJI DISIPLIN PENYOKONG KELANTAN
 
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyokong Kelantan dan LionsXII yang hadir menyaksikan Perlawanan Akhir XOX Piala FA 2015 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi kerana tiada menimbulkan sebarang kekecohan sebelum, pada atau selepas perlawanan.
 
 Saya ingin menyatakan rasa bangga dan memberikan pujian tinggi kepada penyokong Kelantan kerana pada perlawanan akhir kali ini, tiada insiden membabitkan tingkah laku penyokong seperti balingan objek, membakar mercun, bom asap atau suar (flare) berlaku.
 
 Ini menunjukkan bahawa penyokong Kelantan kini semakin matang dan memiliki tahap disiplin serta semangat kesukanan cukup tinggi meskipun pasukan mereka tewas 3-1 kepada Lions XII pada perlawanan akhir, malam tadi.
 
 Saya juga gembira kerana biarpun perlawanan akhir kali ini sekali lagi tidak menemukan dua pasukan yang mempunyai bilangan penyokong yang sama rata ramai, penyokong Kelantan tetap hadir memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada pasukan mereka.
 
 Ini memastikan penjualan tiket berjumlah 80,000 keping untuk perlawanan akhir kali ini berjaya dihabiskan termasuk 3,000 keping tiket yang dibeli penyokong LionsXII.
 
 Saya mewakili pihak FAM berharap sikap baik yang ditunjukkan penyokong Kelantan ini dapat diteruskan dan dicontohi penyokong-penyokong pasukan lain untuk perlawanan akhir yang akan datang atau mana-mana aksi Liga Malaysia selepas ini.
 
DATO' HAMIDIN MOHD AMIN
SETIAUSAHA AGUNG PERSATUAN BOLA SEPAK MALAYSIA (FAM)
24 MEI 2015
 
J Category: 
uncategorised6