DION COOLS KINI MILIK HARIMAU MALAYA

 

01.06.2021

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini secara rasmi telah memperkenalkan pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools sebagai pemain ke-26 dalam skuad Harimau Malaya bagi menghadapi baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE dari 3 hingga 15 Jun 2021.

Pengumuman rasmi tersebut telah dibuat menerusi media sosial rasmi FAM, awal pagi tadi selepas Dion Cools, 25 tahun, terus dibawa untuk bertemu dengan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin di hotel penginapan pasukan sejurus beliau tiba di Dubai.

Untuk makluman, proses penukaran status pasukan negara Dion Cools dari Belgium ke Malaysia sebenarnya sudah berjalan lama selepas Dion Cools sendiri telah menyatakan bahawa beliau berminat dan bersetuju untuk memilih Malaysia sebagai negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior ini. 

Biarpun telah mewakili Belgium bagi skuad B-18, B-19 dan B-21 negara berkenaan, Dion Cools masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya dengan perlunya untuk mendapatkan  kelulusan Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan syarat  beliau tidak pernah beraksi bersama skuad senior kebangsaan Belgium. Syarat lain juga telah dipenuhi apabila beliau lahir di Malaysia dan ibunya juga merupakan warganegara Malaysia.

Bagi mendapatkan perincian mengenai perlawanan Dion Cools bersama pasukan bola sepak Belgium, FAM telah beberapa kali menghantar surat secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Belgium (RBFA) dan setelah FAM menerima bantuan FIFA, RBFA telah pun membalas permintaan FAM dengan memberikan perincian berkenaan penglibatan Dion Cools dalam skuad B-18 dan B-19 Belgium dari 2014 hingga 2015 dan skuad B-21 Belgium dari 2016 hingga 2019 bersama senarai perlawanan, selain mengesahkan bahawa Dion Cools tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi bersama skuad senior kebangsaan Belgium.

FAM kemudiannya telah membuat permohonan kepada Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan melampirkan dokumen-dokumen berkaitan pemain bersama surat perincian yang diterima daripada RBFA. Setelah membuat penelitian terhadap asas-asas yang diguna pakai dan dokumen-dokumen berkaitan, Jawatankuasa Status Pemain FIFA akhirnya telah membuat keputusan untuk meluluskan permohonan tersebut.  

Selepas mendapat kelulusan FIFA, FAM dengan segera mendaftarkan nama Dion Cools dalam senarai awal pendaftaran pemain bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan selepas ia diluluskan FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), barulah FAM boleh mengumumkan secara rasmi Cools sebagai pemain Harimau Malaya.

Junjung kasih juga kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana baginda telah memainkan peranan cukup penting dalam meyakinkan Dion Cools untuk memilih Malaysia sebagai pasukan negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior.

Stuart Ramalingam
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)