Dollah Salleh kongsi ilmu seminggu 'berguru' di Jepun

Ikuti temubual bersama jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh yang menceritakan pengalaman selama seminggu 'berguru' di Jepun baru-baru ini termasuk meninjau program latihan skuad kebangsaan Jepun selama dua hari.
 
 Dollah berada di Jepun dari 6 hingga 14 Mei lalu bersama empat pembantunya dalam skuad Harimau Malaya - Reduan Abdullah dan Wan Mustaffa Wan Ismail (penolong jurulatih), Omar Salim (jurulatih penjaga gol) serta Reuben Jude (jurulatih kecergasan).
 
Boleh ceritakan sedikit, apa aktiviti selama seminggu anda dan rakan-rakan berada di Jepun?
 
Sampai saja di lapangan terbang, kami terus dibawa ke padang latihan kelab JEF United untuk melihat konsep latihan mereka. Tidak dinafikan, tahap mereka memang tinggi biarpun ia hanya pasukan divisyen dua.
 
 Hari berikutnya, kami ke ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) untuk pertemuan dengan pegawai mereka serta pengarah teknikalnya. Mereka memberi penerangan mengenai konsep diamalkan di Jepun.
 
 Bagi mereka, paling utama adalah disiplin. Tiada pemain bintang dalam pasukan kebangsaan mereka tetapi sebagai pasukan, mereka akui mereka sebagai bintang.
 
 Begitulah rutin harian kami sepanjang seminggu di sana. Setiap hari jadual begitu padat dari pagi, hinggakan pulang saja ke hotel pada sebelah malam, terus tidur.
 
Jadi apa perkara utama yang anda dapat pelajari di sana?
 
 Jepun kini dilatih jurulatih baharu dari Bosnia, Vahid Halilhodzic yang baru saja dilantik Mac lalu. Jadi untuk memastikan para pemain memahami apa dikehendakinya, dia panggil kem latihan pusat ringkas selama dua hari setiap bulan di tengah-tengah saingan liga domestik mereka.
 
 Jadi sepanjang dua hari itu, diadakan sesi taklimat dan penerangan serta tiga kali sesi latihan di padang. Kami sempat menyaksikan dua daripada tiga sesi berkenaan yang berlangsung di Chiba.
 
 Boleh saya katakan, dari segi susun corak latihan, sama saja seperti yang kita buat. Malah ada yang saya lihat, kami lebih kreatif dan corak lathan penjaga gol kami lagi baik.
 
 Tapi bezanya dari segi individu pemain itu. Mereka cukup berdisipilin tinggi ketika latihan, itu yang membezakan kita dan Jepun.
 
Boleh anda jelaskan mengenai disiplin yang dimaksudkan itu?
 
 Jika latihan itu berlangsung sejam setengah, maka sejam setengah juga para pemain mereka memberikan sepenuh komitmen dengan intensiti latihan yang sama tinggi. Itu yang kita tiada.
 
 Memang pemain tempatan kita ada skil yang agak baik tetapi kita kurang dari segi kekuatan. Memang diakui kita juga ketinggalan jauh dari segi dispilin di dalam dan luar padang.
 
 Sebagai contoh, apabila pasukan mereka bertandang ke tempat lawan, sebagaimana keadaan bilik persalinan itu sebelum mereka masuk, begitu jugalah keadaannya selepas mereka keluar. Tahap kebersihan cukup dijaga.
 
 Kalau kita, selepas keluar sudah tentu berselerak bilik persalinan itu tetapi di Jepun, tak kiralah pemain bintang sekali pun, akan sama-sama kutip sampah yang dibuang di bilik persalinan.
 
 Jika di bilik persalinan dan padang latihan pun mereka mampu menerapkan tahap disiplin yang tinggi, begitu jugalah yang mereka buat ketika beraksi di atas padang pada perlawanan sebenar.
 
Jadi apa yang anda pelajari di Jepun itu yang boleh dilaksanakan dalam skuad Harimau Malaya apabila kem latihan pusat bermula esok?
 
 Kebiasaannya sebelum ini, apabila pemain dipanggil untuk kem latihan pusat, sebelah petangnya terus kami adakan latihan di padang. Tapi kali ini, hari pertama pemain lapor diri, saya akan buat sesi taklimat dan penerangan pada sebelah petang atau malam.
 
 Saya akan terangkan apa yang saya mahu dan supaya mereka dapat gambarannya. Saya akan terangkan soal dispilin dan komitmen yang dituntut daripada mereka.
 
 Antara perkara penting ialah untuk meningkatkan intensiti pemain dalam sesi latihan. Biarpun usia pemain-pemain kita majoritinya sudah melepasi 27 tahun dan bukan mudah menerapkannya, tapi jika kita buat dan mula amalkan, sedikit sebanyak ia mampu dilakukan dalam perlawanan sebenar nanti.
 
 Mungkin saya takkan dapat 100 peratus apa yang dimahukan. Tapi sekurang-kurangnya jika dapat dalam 40 hingga 50 peratus pun sudah cukup baik. Sekurang-kurangnya ada peningkatan dapat dilihat.
 
 Kita kena belajar daripada Jepun. Mereka masih meletakkan diri mereka bersaiz kecil sedangkan kita lihat pemain mereka kini sudah berfizikal agak besar.
 
 Itu bermakna, mereka sentiasa letakkan disiplin sebagai perkara utama dalam minda mereka dan sebab itulah mereka mampu kekal agresif dan memiliki kekuatan. Mereka mempunyai sikap sentiasa mahu meningkat dan terus meningkat.
J Category: 
uncategorised7