FAM HAMPIR BERJAYA RAMPAS KEJUARAAN PADA PIALA CABARAN TUNKU ABDUL RAHMAN FAM-AFC 2022

2022-08-31

Pasukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hampir berjaya merampas kejuaraan daripada pasukan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada aksi Piala Cabaran Tunku Abdul Rahman FAM-AFC 2022 di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi sebelum akhirnya tewas menerusi penentuan sepakan penalti 3-2.

Pasukan AFC mendahului 2-0 menerusi S. Veshenukumar dan Raymond Bhaskaran sebelum pasukan FAM yang diketuai oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell bangkit membalas dua gol menerusi jurulatih penjaga gol kebangsaan, Cho Junho dan penolong jurulatih kebangsaan, Park Bobae untuk kedudukan seri 2-2 yang membawa kepada penentuan sepakan penalti.

Nama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dipilih untuk trofi perlawanan persahabatan antara FAM dan AFC ini kerana Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu pernah menjadi presiden kedua-dua badan induk bola sepak terbabit.

Sepanjang tempoh lima edisi penganjurannya, FAM muncul juara tiga tahun berturut-turut sejak edisi sulung piala tersebut pada tahun 2016 di mana FAM mencatatkan kemenangan 6-5 ke atas AFC pada tahun 2016, 4-1 pada tahun 2017 dan 5-2 pada tahun 2018.

Namun pada edisi keempat pada 2019 yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil, pasukan FAM gagal mempertahankan kejuaraan selepas tewas 3-1 kepada AFC, sebelum penganjuran perlawanan persahabatan tahunan ini terpaksa dibatalkan pada 2020 dan 2021 ekoran pandemik COVID-19.

Terdahulu pada perlawanan pembukaan, skuad wanita AFC berjaya menewaskan skuad wanita FAM 4-3 pada masa tambahan selepas kedudukan terikat 2-2 untuk mempertahankan kejuaraan kategori wanita yang sebelum ini diadakan ketika edisi kedua pada 2017.

Leila Chua meledak hatrik buat skuad wanita FAM manakala jaringan skuad wanita AFC menerusi dua gol Raja Nurshahida Raja Abdullah, satu gol Bai Lili dan satu lagi gol sendiri.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato' S. Sivasundaram.

Yang turut hadir, Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Ayub; Exco FAM, ACP (B) Md Dali Wahid serta Timbalan Setiausaha Agung AFC, Shin Man Gil.