FAM HARGAI DUKUNGAN PERDANA MENTERI

2021-02-19

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menghulurkan sekalung penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, yang mendukung hasrat keluarga bola sepak negara untuk bangkit semula susulan impak COVID-19.

Dalam pertemuan hampir sejam dengan delegasi FAM yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin di Putrajaya pada Khamis (18 Februari 2021), YAB Tan Sri Muhyiddin mengambil maklum bahawa ekosistem bola sepak harus  diperkasakan walaupun di saat negara bergelut dengan usaha memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.

Sambil menegaskan bahawa bola sepak tidak hanya tertumpu kepada saingan Liga Malaysia sebagai puncak saingan tempatan, YAB Tan Sri Muhyiddin mengambil maklum bahawa keseluruhan rantaian ekosistem dan industri hiliran berasaskan bola sepak yang menawarkan kegiatan ekonomi pesat tidak harus diabaikan.

Bagaimanapun, dalam pada YAB Tan Sri Muhyiddin bersetuju agar saingan liga tempatan dan pengendali venue futsal dan bola sepak dibenarkan untuk kembali beroperasi, beliau mengingatkan bahawa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat mesti dikuatkuasakan bagi mengelak kluster baharu jangkitan COVID-19 dari sukan itu.

Malah, beliau menggesa FAM dan MFL agar turun padang dan meninjau premis serta gelanggang latihan kelab dan pasukan agar pematuhan SOP yang ketat benar-benar dikuatkuasakan.

Amanat yang bersulamkan nasihat itu disampaikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin dalam kunjungan hormat FAM yang diketuai oleh Datuk Haji Hamidin dan turut disertai Naib Presiden FAM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam.

Gesaan YAB Tan Sri Muhyiddin disambut baik oleh Datuk Haji Hamidin yang menyifatkan pertemuan itu sebagai cukup bernas dan hadir tepat pada waktunya.

“Bagi pihak FAM dan MFL, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Tan Sri atas kesudian beliau mengambil sedikit masa menerima kunjungan hormat kami dalam menjelaskan beberapa kaedah persiapan untuk skuad kebangsaan sepanjang musim ini serta sepak mula Liga M bermula Mac.

“Kami bertukar pendapat dengan YAB Tan Sri mengenai situasi semasa, termasuk persediaan memberi imunisasi kepada keluarga bola sepak negara dan betapa pentingnya industi hiliran berasaskan bola sepak dibenarkan kembali beroperasi di bawah SOP yang ketat.

“YAB Tan Sri memahami bahawa bola sepak di peringkat akar umbi juga harus diberi ruang untuk bernafas demi kelangsungan ekosistem bola sepak secara keseluruhannya, sebagaimana yang diperjuangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican,” kata Datuk Haji Hamidin. 

Dalam mengucapkan tahniah kepada Datuk Haji Hamidin atas pencalonan beliau selaku Presiden FAM tanpa dicabar untuk penggal 2021-2025, YAB Tan Sri Muhyiddin menasihatkan FAM agar mengutamakan kepimpinan dalam kalangan ahlinya, berlandaskan sifat amanah, adil dan diterima ahli gabungan.

Sambil mendoakan pasukan kebangsaan Harimau Malaya mampu melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China, Tan Sri Muhyiddin berpesan agar saf kepimpinan FAM bersatu hati di bawah pucuk pimpinan yang padu dan tidak terperangkap dalam krisis kepimpinan.

“Sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan, YAB Tan Sri Muhyiddin menjelaskan bahawa sukan sentiasa di hati beliau dan mengingatkan kami agar menguatkan iltizam melaksanakan amalan tadbir urus terbaik untuk membangunkan industri bola sepak tempatan,” kata Datuk Haji Hamidin.

Datuk Haji Hamidin juga menjelaskan kepada Perdana Menteri bahawa FAM dan MFL melaksanakan inisiatif untuk kelompok 2,500 pemain dan pegawai bola sepak di peringkat elit diberi suntikan COVID-19 hasil perbincangan dengan Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Hasil perbincangan dengan Menteri MOSTI, YB Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, YB Dato’ Sri Dr Adham Baba, kami mengemukakan permohonan untuk kelompok pemain tempatan diberi suntikan vaksin seberapa awal yang boleh, kemungkinan besar selepas kumpulan petugas barisan hadapan,” kata Datuk Haji Hamidin.