FAM MAHU PERBINCANGAN, BUKAN DEBAT

2016-04-14

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato' Hamidin Mohd Amin menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak dalam mencari jalan membantu meningkatkan mutu bola sepak negara terutamanya skuad kebangsaan.

 "Pertamanya, secara peribadinya saya memang tidak pandai berdebat.

 "Selepas membaca kenyataan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, saya berasakan yang beliau sebenarnya menginginkan satu perbincangan untuk semua pihak duduk bersama termasuk FAM dalam mencari jalan membantu meningkatkan tahap skuad kebangsaan.

 "Lagipun saya memikirkan jika debat itu diadakan dengan cara yang tidak betul, visi dan misinya tidak akan tercapai. Tujuan kita di sini ialah untuk menaikkan bola sepak, bukan untuk mencari kejayaan peribadi. Itu pendapat saya.

 "Ini bermakna, FAM memang bersedia dengan mana-mana pihak untuk duduk berbincang bagi mencapai maksud tersebut.

 "Tapi saya tak bersetuju jika diadakan secara terbuka dan disiarkan secara langsung. Perbincangan ini perlu mengikut mekanisme terbaik dalam usaha kita untuk menaikkan bola sepak negara," kata Hamidin pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

 Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee turut senada tidak bersetuju dengan kaedah berdebat, sebaliknya keikhlasan dalam mengadakan perbincangan bagi membangunkan bola sepak negara adalah lebih penting.

 "Saya juga percaya, bukan maksud TMJ untuk mengadakan debat. Bagi saya, debat adalah untuk mendapatkan kepastian atau mencari kesalahan. Ini bukan caranya. Saya percaya TMJ mahukan satu perbincangan diadakan.

 "Tak kiralah jika perbincangan itu diadakan secara terbuka atau tertutup, yang penting adalah input kita ketika perbincangan itu dilakukan, sama ada benar-benar ikhlas atau tidak.

 "Jika benar-benar ikhlas, tak perlu kita risau sama ada perbincangan itu diadakan secara terbuka atau tertutup. Yang penting di sini, semua pihak harus memberikan kerjasama serta jujur untuk membangunkan bola sepak negara," kata Kim Swee.