FAM perketat pemeriksaan tiket

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menyusun stratregi bagi  memastikan masalah tiket palsu tidak berlaku semasa perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 antara Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam, Ahad ini (3 Nov).

Tiga lapisan pencegahan bakal menanti mereka yang membawa tiket palsu. Yang pertama, setiap penonton diwajib menjalani pemeriksaan badan oleh pihak keselamatan termasuk wanita di lorong khas.

Keduanya, tiket penonton akan diperiksa menerusi sistem ultra ungu bagi menentukan kesahihannya dan yang ketiga terakhir, pemeriksaan ke atas sesiapa yang cuba membawa barang-barang larangan ke stadium.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Dato’ Sri Afandi Hamzah berkata, sesiapa yang cuba masuk dengan tiket palsu selepas dikesan sistem ultra ungu akan berdepan tindakan.

"Pemilik tiket palsu tidak boleh dibenarkan masuk stadium. Nasihat buat mereka, belilah tiket mengikut saluran yang sah. Pemeriksaan badan dan barang juga bertujuan supaya tiada bahan larangan seperti suar terlepas ke stadium," tegasnya.

Beliau yang juga Naib Presiden FAM berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2013 di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam (28 Okt).

Katanya, Kelantan dan Pahang akan menerima peruntukan 30,000 tiket setiap pasukan yang akan mula dijual 30 Oktober di tempat-tempat yang bakal ditetapkan persatuan bola sepak negeri mereka, hari ini.

"Bakinya, 15,000 tiket akan dijual di Stadium Shah Alam mulai 9 pagi, hari yang sama. Harga tiket semua tempat duduk RM40 dan hanya RM5 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun (1,000 tiket sahaja).’”

 

 

J Category: 
article/latest-news