FAM PERTAHAN KEJUARAAN PADA PIALA CABARAN TUNKU ABDUL RAHMAN FAM-AFC 2017

2017-09-30

Pasukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berjaya mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan pasukan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 4-1 pada aksi Piala Cabaran Tunku Abdul Rahman FAM-AFC 2017 di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi.

 Pasukan FAM diketuai setiausaha agungnya, Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin serta dibarisi kakitangan FAM lain termasuk beberapa barisan kejurulatihan dari skuad bola sepak dan futsal kebangsaan.

 Sementara pasukan AFC pula dibarisi kakitangan mereka yang bertugas di AFC House, Bukit Jalil termasuk juga bekas setiausaha agungnya, Dato' Alex Soosay yang sebelum ini turut beraksi pada edisi pertama tahun lalu.

 Pada aksi separuh masa pertama yang berlangsung ketika hujan dan padang basah, FAM berjaya mendahului hasil jaringan Mohd Hasrol Ismail sebelum AFC menyamakan kedudukan menerusi Sonam Jigmi untuk kedudukan 1-1.

 FAM berjaya menambah satu lagi gol menerusi penyudah Mohd Sukri Mohd Sharif untuk mendahului 2-1 pada separuh masa kedua.

 Bersambung separuh masa ketiga, FAM terus garang apabila berjaya menambah dua lagi gol hasil jaringan Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad dan penolong jurulatih futsal lelaki kebangsaan, Jamhuri Zainuddin untuk keputusan penuh 4-1.

 Terdahulu pada perlawanan pembukaan, skuad wanita AFC berjaya menewaskan skuad wanita FAM 2-1 untuk muncul juara sulung kategori wanita yang mula diperkenalkan tahun ini.

 Penganjuran Piala Cabaran Tunku Abdul Rahman FAM-AFC telah dimulakan pada tahun lalu di mana FAM muncul juara sulung selepas mencatat kemenangan tipis 6-5 ke atas AFC pada aksi yang berlangsung pada 27 Ogos 2016, juga di Padang Wisma FAM.

 FAM dan AFC merancang penganjuran Piala Cabaran Tunku Abdul Rahman FAM-AFC ini secara bergilir setiap tahun dengan FAM menjadi tuan rumah sulung tahun lalu diikuti AFC pada tahun ini, namun AFC selaku penganjur bagi edisi kedua ini terpaksa menggunakan Padang Wisma FAM sebagai gelanggang tuan rumah disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

 Nama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dipilih untuk trofi perlawanan persahabatan antara FAM dan AFC ini kerana bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu pernah menjadi presiden kedua-dua badan induk bola sepak terbabit.

 Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden FAM selama 23 tahun dari 1951 hingga 1974 serta turut pernah memegang jawatan selaku Presiden AFC selama 19 tahun dari 1958 hingga 1977.

 Bagi edisi ketiga pada 2018 nanti, FAM akan kembali menjadi penganjur dan tuan rumah.