FAM SAMBUT BAIK SOKONGAN PERDANA MENTERI UNTUK AMBIL PEMAIN NATURALISASI SERTAI HARIMAU MALAYA

2018-07-30

Saya terlebih dahulu ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah memberikan lampu hijau kepada pasukan Harimau Malaya menggunakan pemain berstatus naturalisasi, seperti dinyatakan kepada media, hari ini.

Di sini saya sekali lagi ingin melahirkan rasa terharu kepada Tun Dr Mahathir yang mana beliau sentiasa mengambil berat serta memantau perkembangan pasukan bola sepak kebangsaan dan sumbangan daripada pihak kerajaan jelas akan memainkan peranan positif dalam memajukan bola sepak tempatan.

Kami di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Melaka pada Sabtu lalu sebenarnya telah bersetuju melantik Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas untuk persediaan merealisasikan pengambilan pemain naturalisasi ini.

Mengambil respon positif daripada kenyataan Tun Dr Mahathir hari ini, FAM akan terus mula menggerakkan jawatankuasa khas tersebut untuk bertindak memperhalusi lagi hal berkaitan pengambilan pemain bertaraf naturalisasi ini bagi langkah-langkah seterusnya.

Bagaimanapun, FAM tetap akan terus berusaha memperkasakan program akar umbi seperti disarankan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini sebagai program jangka masa panjang melahirkan pemain Harimau Malaya pada masa depan biarpun sedang berusaha ke arah naturalisasi pemain dalam masa terdekat ini.

Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)