FAM SELESAI RM2.5 JUTA TUNGGAKAN GAJI LAPAN PASUKAN

2019-03-07

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini ingin mengumumkan bahawa tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi lima pasukan Liga Malaysia yang berjumlah RM1,178,600 telah pun diselesaikan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh Persatuan ini.

Tunggakan bagi pasukan PDRM telah pun dikreditkan terus ke akaun individu yang terlibat pada 19 Februari 2019, bagi pasukan Felcra FC, MOF FC dan DBKL FC pada Selasa lalu, 5 Mac 2019 dan bagi pasukan Terengganu City FC pada hari ini, 7 Mac 2019.

Sementara tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tiga lagi pasukan iaitu Felda United, Hanelang FC dan Marcerra United yang berjumlah RM1,339,359.40 sedang dalam proses pembayaran dan dijangka dapat dikreditkan terus ke akaun individu yang terlibat dalam beberapa minggu lagi.

Ini menjadikan keseluruhan jumlah tunggakan gaji pemain dan pegawai yang berjaya diselesaikan FAM dengan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh Persatuan ini adalah berjumlah RM2,517,959.40.

Bagaimanapun, ia bukan bermakna bahawa keseluruhan tunggakan gaji pemain dan pegawai berkenaan telah pun diselesaikan kerana jumlah tunggakan yang dinyatakan ini adalah berdasarkan jumlah wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh FAM ke atas setiap pasukan yang terlibat.

Baki tunggakan gaji pemain dan pegawai yang masih ada tetap perlu diselesaikan oleh pasukan-pasukan berkenaan.

Inisiatif diambil FAM untuk menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh Persatuan ini adalah sebahagian usaha bagi meringankan beban individu-individu yang terlibat dengan masalah tunggakan gaji ini.

FAM turut berharap agar pasukan-pasukan terbabit menghargai usaha yang dilakukan ini kerana ia telah mengurangkan sebahagian tunggakan yang perlu dijelaskan, seterusnya mereka juga perlu memiliki rasa tanggungjawab untuk menyelesaikan baki tunggakan kepada pemain dan pegawai yang terlibat ini.

 

Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)