FAM UNGGULI PIALA CABARAN TUNKU ABDUL RAHMAN FAM-AFC 2023

2023-12-08

Selepas terlepas kejuaraan pada dua edisi sebelum ini, pasukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kembali berjaya merampas kejuaraan daripada pasukan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada saingan Piala Cabaran Tunku Abdul Rahman FAM-AFC 2023 di AFC House, Bukit Jalil, petang tadi.

Pada aksi kemuncak edisi keenam kejohanan itu, FAM mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas AFC untuk meraih kejuaraan buat kali keempat selepas muncul juara pada edisi pertama pada 2016, edisi kedua pada 2017 dan edisi ketiga pada 2018.

Ia sekali gus menafikan hasrat AFC untuk meraih kejuaraan ketiga berturut selepas pasukan tersebut muncul juara buat kali pertama pada edisi keempat pada 2019 dan kali kedua pada edisi kelima pada 2022.

Penganjuran perlawanan persahabatan tahunan ini terpaksa dibatalkan selama dua tahun pada 2020 dan 2021 ekoran pandemik COVID-19.

Pasukan FAM yang diketuai Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin selesa mendahului 4-0 pada separuh masa pertama menerusi gol pertama jaringan sendiri pemain AFC, gol kedua oleh Lee Jeyoon, gol ketiga sekali lagi hasil jaringan sendiri pemain AFC dan gol keempat menerusi Ahmad Sallehin Khalid.

Bersambung babak kedua, FAM berjaya menambah satu lagi gol menerusi sepakan percuma menarik ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon sebelum AFC memperoleh gol saguhati hasil sepakan penalti Hirokazu Abe untuk kedudukan akhir 5-1.

Terdahulu pada perlawanan pembukaan, skuad wanita FAM turut berjaya merampas kejuaraan apabila dengan garang membelasah pasukan wanita AFC 5-1 selepas tewas pada dua edisi terdahulu pada 2017 dan 2022.

FAM mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi Leila Chua sebelum Farah Dhiba Abd Aziz menjadikan kedudukan 2-0 pada awal babak kedua.

AFC kemudian merapatkan kedudukan 2-1, namun FAM terus cemerlang menambah gol ketiga hasil jaringan ketua jurulatih wanita kebangsaan, Soleen Al-Zoubi, gol keempat menerusi Farah Dhiba dan gol kelima juga oleh Farah Dhiba untuk melengkapkan hatriknya.

Edisi keenam Piala Cabaran Tunku Abdul Rahman FAM-AFC ini juga menampilkan satu lagi kategori atau acara baharu yang diperkenalkan iaitu eFootball dengan FAM berjaya muncul juara sulung dengan kemenangan 6-2 secara agregat ke atas AFC.

Pada perlawanan pertama, gandingan FAM - Muhammad Alif Mohd Fadzil dan Muhammad Ezanee Irfan Suhaime mudah menewaskan gandingan AFC - Sukhdave Singh dan Pang Wei Han menerusi jaringan 4-1.

Seterusnya pada perlawanan kedua, gandingan FAM - Muhammad Farhan Abdul Samad dan Muhammad Atiq Jumali turut berjaya menewaskan gandingan AFC - Karim Haydar dan Sandjar Rizaev menerusi jaringan 2-1.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato' S. Sivasundaram dan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John.