Felda United, MPSJ muncul juara berganda Piala Futsal Felda-FAM 2014

Nasib ternyata memihak Felda United untuk dinobatkan selaku juara kategori lelaki Piala Futsal Felda-FAM 2014 apabila menang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Stadium Malawati, semalam setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga masa tambahan.

Hanya tendangan pemain MPSJ, Muhd. Ruzaimi Norazam gagal menepati sasaran, sekali gus menunaikan hajat Felda untuk muncul juara berganda pada musim ini selepas meraih gelaran juara Liga Futsal Kebangsaan Felda-FAM 2013.

Kemenangan itu membolehkan mereka meraih wang tunai keseluruhan RM150,000 (RM100,000 juara liga dan RM50,000 juara Piala Futsal).

Kehampaan skuad lelaki MPSJ bagaimanapun ditebus oleh pasukan wanita mereka yang menewaskan Sabah 2-1 dalam perlawanan akhir untuk turut mengikuti jejak Felda United apabila meraih dua trofi pada musim ini.

Felda memimpin perlawanan dengan cukup selesa apabila mendahului 2-0 menerusi Mohd. Azwaan Ismail pada minit ke-12 yang melepaskan satu rembatan menarik dari jarak jauh dan Abu Hanifa Hasan, tiga minit kemudian.

Langkah MPSJ sedikit terencat apabila Mohd. Asmie Amir Zahari dilayangkan kad merah pada minit ke-16 tetapi mereka mampu merapatkan jurang melalui gol daripada Noor Badruzzaman Noor Azlan.

MPSJ menggandakan asakan pada babak kedua bagi mendapatkan gol penyamaan dan akhirnya Mohd. Shamsul Akmar Zamri yang turut diisytiharkan pemain terbaik aksi akhir itu memberi gol yang cukup berharga pada minit terakhir permainan bagi mengheret permainan ke masa tambahan.

“Ini kali pertama kami muncul juara berganda, sebelum ini hanya pasukan PKNS melakukannya pada musim lalu dan kejayaan ini memang kami langsung tidak duga kerana cabaran dari pasukan-pasukan lain begitu sengit.

“Saya berasa sedikit resah apabila MPSJ berjaya mengheret perlawanan ke masa tambahan apabila percaturan mereka mengeluarkan penjaga gol dan memasukkan pemain tambahan berjaya memberikan hasil.

‘‘Namun, syukur mental para pemain tidak merudum dan mereka bertahan dengan baik pada 10 minit masa tambahan, kejayaan ini adalah usaha keras daripada semua pemain," kata jurulatih Felda, Zul Azmi Zulkilfi.

Bagi saingan liga, skuad lelaki MPSJ juga terpaksa berpuas hati selaku naib juara, manakala Pahang menduduki tempat ketiga dan kategori wanita memperlihatkan Felda United di tempat kedua diikuti PKNS, di tangga ketiga.

Hadiah disampaikan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim yang turut dihadiri Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.-Utusan-

 

 

J Category: 
article/latest-news