FINAL NATIONS CUP 2016: MALAYSIA B-21 1-2 THAILAND B-21

2016-06-05

Skuad kendalian Frank Bernhardt muncul naib juara kejohanan Nations Cup 2016 setelah tewas tipis 1-2 kepada pasukan bawah 21 tahun (B-21) Thailand di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Terdahulu pada perlawanan yang berlangsung Jumaat lalu, Malaysia menumpaskan Singapura 3-0 tatkala Thailand menundukkan Vietnam 2-0 untuk mara ke perlawanan akhir kejohanan bola sepak empat penjuru itu.

Pemain pertahanan, Worawut Namvech menampan masuk sepakan percuma Suradet Klankham yang terkena palang untuk menjaringkan gol pendahuluan buat Thailand pada minit ke-3 perlawanan.

Malaysia meraih gol penyamaan menerusi larian deras pemain sayap, Nur Shamie Iszuan Amin yang menyudahkan hantaran bijak Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-35 untuk kedudukan terikat 1-1 hingga tamat separuh masa pertama.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Worrawoot Srimaka berjaya menjaringkan gol kemenangan menerusi ketua pasukan, Chenrop Samphaodi pada minit ke-79. Penyerang berusia 21 tahun itu kemudiannya dilayangkan kad merah kerana melengah-lengahkan permainan pada penghujung separuh masa kedua.

Keputusan 1-2 kekal sehingga tamat permainan.

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD MALAYSIA B-21, FRANK BERNHARDT

“Kita mempunyai masalah pada separuh masa kedua di mana kekuatan dan kecergasan pemain kita tidak mencukupi untuk tempoh 90 minit. Kelemahan ini perlu diperbaiki.

“Gol kedua (Thailand) terhasil kerana kesilapan pemain dan kesimpulannya, kekalahan ini adalah masalah kita, dan bukannya masalah pengadil perlawanan.

“Bagi saya, ianya tidak mustahil untuk merapatkan jurang dengan Thailand, atau menewaskan mereka jika kita mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan pasukan dari segi kekuatan dan juga kecergasan para pemain.

“Saya jangkakan kita mampu untuk bersaing pada tahap yang sama dengan Thailand pada Sukan SEA kelak."