Hanya JDT, Pahang terus rebut kejuaraan Liga Super

Dua pasukan teratas, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang berjaya menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan ke-19, malam tadi, sekali gus menyaksikan hanya dua pasukan itu kini yang bersaing merebut kejuaraan Liga Super 2015.
 
 Berbaki tiga lagi perlawanan, JDT selaku juara bertahan kekal di tangga teratas dengan 43 mata diikuti Pahang di tangga kedua dengan 42.
 
 Dua pasukan berkenaan tidak mampu lagi dicabar pasukan tangga ketiga, Selangor dan pasukan tangga keempat, Terengganu yang berkongsi mengumpul 32 mata setakat ini.
 
 Pada aksi malam tadi, JDT berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Lions XII di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin manakala Pahang menewaskan Kelantan 5-3 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
 
 Selangor pula berjaya meraih kemenangan kedua berturut dengan menewaskan pasukan kedua tercorot, ATM 3-2 di Stadium Shah Alam.
 
 Terengganu terus cemerlang sejak di bawah kendalian Ahmad Yusoff apabila berjaya meraih kemenangan keenam berturut selepas menundukkan Perak 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
 
 Pasukan tercorort, Sime Darby FC masih kempunan untuk meraih kemenangan sulung musim ini apabila sekadar berjaya mengikat Sarawak 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
 
 Terdahulu pada satu perlawanan yang berlangsung awal sehari pada Selasa (kelmarin), PDRM berjaya menewaskan Felda United FC 1-0 di Stadium Shah Alam untuk kini menghuni tangga kelima dengan 31 mata.
 
 Perlawanan ke-20 akan berlangsung pada Sabtu ini (15 Ogos).
 

 
 
KEPUTUSAN SEMALAM:
 
JOHOR DARUL TA'ZIM 1
Luciano Figueroa m-55
LIONS XII 0
 
PAHANG 5
R Surendran m-6,
Dickson Nwakaeme m-8,
Matias Conti m-43,
Zesh Rehman m-53,
Azammuddin Akil m-90+4
KELANTAN 3
Nor Farhan Muhammad m-12, m-70 & m-90+1 (p)
 
SELANGOR 3
Guilherme De Paula m-32 (p),
Ahmad Hazwan Bakri m-48,
Shahrom Kalam m-55
ATM 2
Abdulafees Abdulsalam m-45+2,
Shukur Jusoh m-90+4
 
TERENGGANU 2
Ismail Faruqi Ashari m-22,
Issey Nakajima-Farran m-26
PERAK 1
Bobby Gonzales m-37
 
SIME DARBY FC 1
Marko Perovic m-75
SARAWAK 1
Billy Mehmet m-41
 
 
KEPUTUSAN KELMARIN:
 
PDRM 1
Dramane Traore m-8
FELDA UNITED FC 0 
 
J Category: 
uncategorised6