Harapan tipis

Harapan Malaysia untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia kini tipis selepas tewas kepada Qatar 0-1 dalam aksi kelayakan di Stadium Shah Alam, Selasa.

Qatar dan Bahrain kini mengetuai Kumpulan D dan mengesahkan tempat ke pusingan akhir nanti.

Malaysia masih miliki peluang tipis jika berjaya mengalahkan Yemen dalam saingan terakhir di tempat lawan, 5 Mac tahun depan, namun pada masa yang sama terpaksa bergantung kepada keputusan perlawanan lain untuk menamatkan cabaran selaku pasukan ketiga terbaik.

Jaringan tunggal pemain gantian Qatar, Al-Ali pada minit ke-64 memberi tamparan hebat buat pasukan Harimau Malaya yang dilihat semakin terdesak untuk mencari slot ke Piala Asia 2015.

Safee Sali yang diturunkan dalam kesebelasan utama gagal membuktikan kepada pengkritik bahawa dia mampu membantu Malaysia mencatat kemenangan.

Norshahrul Idlan Talaha kelihatan tenggelam punca.

Pujian mungkin boleh diberikan sedikit kepada pertahanan negara yang diketuai oleh Aidil Zafuan Abd. Radzak kerana masih mengekalkan corak berdisiplin seperti mana yang dipamerkan ketika tewas kepada Bahrain 0-1, Jumaat lalu.

Bagaimanapun mereka tetap dibolosi lawan pada minit ke-64 apabila Al-Ali berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat selepas menerima hantaran Soria.

Kekalahan ini bermakna Malaysia terpaksa melupakan slot untuk mara antara dua pasukan terbaik Kumpulan D dan perlu bergantung harap menjadi pasukan ketiga terbaik dalam kempen kelayakan ini.

 

J Category: 
article/latest-news