Harimau Malaya tewas di China

Pasukan senior kebangsaan atau Harimau Malaya tewas 0-2 kepada China dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium  Tianjin di China Selasa (10 Sept).

Perlawanan ini adalah sebahagian persiapan pasukan Harimau Malaya untuk meneruskan kempen kelayakan Piala Asia.

Pasukan kendalian Datuk K. Rajagobal itu memulakan kempen kelayakan Piala Asia dengan kekalahan 2-0 kepada Qatar Februari lalu sebelum menewaskan Yemen 2-1 pada bulan Mac.

Malaysia akan bertemu Bahrain di gelanggang sendiri pada 15 Oktober dan kini berada di tangga ketiga dalam kumpulan empat pasukan dengan tiga mata dari dua perlawanan.

China yang berada di ranking 95 dunia dan kesembilan Asia, berjaya mencatat kemenangan melalui jaringan pembukaan Zheng Long pada minit ke-43 dan menambah gol kedua pada separuh masa kedua hasil tandukan Yang Xu di minit ke-57.

Dalam perlawanan itu, Datuk Rajagobal membariskan Farizal Marlias, Asrarudin Putra Omar, Aidil Zafuan Abd. Radzak, Razman Roslan, Helmi Rameli, Safiq Rahim (ketua pasukan), K. Gurusamy, S. Kunanlan, Azamuddin Mohd. Akil, Norshahrul Idlan Talaha dan Amri Yahyah dalam kesebelasan utama.

Hasrat Malaysia untuk mengekang China daripada membolosi gawang tidak berhasil apabila Zheng Long yang beraksi bersama Guangzhou Evergrande berjaya meletakkan pasukan tuan rumah di depan menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gol, Farizal.

Sebaik saja aksi separuh masa kedua bersambung, China yang dibimbing jurulatih sementara, Fu Bo terus memberi tekanan kepada skuad kebangsaan dan melebarkan kedudukan 2-0 hasil jaringan penyerang,  Yang Xu.

Pemain yang memiliki ketinggian 1.88 meter itu melompat tinggi mengatasi barisan pertahanan negara untuk menanduk masuk gol kedua pada minit ke-57.

Datuk Rajagobal cuba untuk mengubah tempo perlawanan dengan mengeluarkan Azamuddin dan Gurusamy untuk diganti dengan Khyril Muhyameen Zambri serta Mohd Shakir Shaari pada minit ke-64.

Begitupun, perubahan itu gagal mengubah keadaan dengan skuad negara lebih banyak bertahan dalam kawasan sendiri sehingga perlawanan tamat.

 

J Category: 
uncategorised7