HASSAN SAZALI DILANTIK PENOLONG JURULATIH KEBANGSAAN

2016-01-20

Bekas ketua jurulatih skuad Harimau Muda C, Hassan Sazali Mohd Waras, hari ini secara rasmi telah dilantik sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan selepas menjadi pilihan ketua jurulatih kebangsaan yang baharu, Datuk Ong Kim Swee.

Hassan yang bakal genap berusia 51 tahun pada 24 Jun ini bakal menyertai barisan kejurulatihan Kim Swee yang terdiri daripada Brad Maloney (penolong jurulatih) dan Yong Wai Hwang (jurulatih penjaga gol).
 
 Maloney dan Wai Hwang sudah bersama Kim Swee ketika mereka mengendalikan skuad B-23 negara, tahun lalu dan seterusnya menyertai Kim Swee menjadi pengendali sementara skuad kebangsaan sejak 5 September 2015 selepas peletakan jawatan Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih kebangsaan.
 
 Biarpun dua tahun mengendalikan skuad Harimau Muda C sepanjang 2014 dan 2015, Hassan sebelum itu pernah menjadi pembantu kepada Kim Swee dalam skuad Harimau Muda A dan B dari tahun 2008 hingga 2013.
 
 "Pertama sekali, terima kasih kepada FAM dan Datuk Ong Kim Swee kerana memberi peluang kepada saya menjadi penolong jurulatih kebangsaan. Ia satu penghargaan bagi saya.
 
 "Saya pernah bersama sebagai pembantu beliau selama enam tahun, satu tempoh masa yang agak panjang. Jadi pengalaman bersama itu akan kami teruskan dalam skuad kebangsaan kali ini.
 
 "Bagi saya, ia satu tugas yang mencabar. Bukan bermakna saya mahu memberi alasan tetapi ini satu cabaran yang perlu kami tempuh bersama bagi mencapai apa sasaran yang diharapkan para peminat iaitu salah satunya memperbaiki ranking Malaysia sekurang-kurangnya ke tangga 140 dunia," kata Hassan kepada www.fam.org.my, hari ini.
 
 
 Ditanya adakah kehadirannya dalam barisan kejurulatihan mampu memperkasakan skuad kebangsaan, Hassan berkata: "Sudah tentu apabila mempunyai tiga pembantu, ia akan lebih memudahkan tugas Datuk Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih.
 
 "Saya kini menanti arahan daripada beliau untuk tugasan yang akan diberikan kepada saya, Brad dan Yong. InsyaAllah saya akan laksanakannya dengan jaya."
 
 Hassan sebelum ini bersama empat calon lain - P Maniam, Reduan Abdullah, Azlan Johar dan Aminuddin Hussin telah menjalani latihan pemilihan selama dua minggu untuk jawatan penolong jurulatih skuad Projek Sukan SEA 2017 kendalian Frank Bernhardt.
 
 Namun jurulatih baharu skuad B-22 negara berasal dari Jerman itu sehingga kini masih belum mengumumkan siapa terpilih sebagai pembantunya.
 
 "Apabila Datuk Ong Kim Swee membuat tawaran sebagai penolong jurulatih kebangsaan, saya terus menerimanya kerana kedudukan saya dalam skuad Projek Sukan SEA 2017 pun belum pasti. Sudah tentu peluang untuk berada dalam barisan kejurulatihan skuad kebangsaan lebih menjadi keutamaan," jelas Hassan.
 
 Kim Swee, 46, yang pada Isnin lalu (18 Januari 2016) telah secara rasmi dipilih sebagai ketua jurulatih kebangsaan selepas 'menewaskan' dua calon lain - Robert Alberts dan Bojan Hodak pada sesi temu duga, hari yang sama telah menyatakan untuk melakukan transisi antara pemain senior dan muda bagi memperkasakan skuad kebangsaan kendaliannya.
 
 Bagi Hassan, ramuan itu adalah yang terbaik dan beliau bersedia untuk berkongsi pengetahuannya sepanjang dua tahun mengendalikan skuad B-19 negara (Harimau Muda C) untuk membantu Kim Swee mengenal pasti mana-mana pemain muda yang boleh diserapkan awal ke skuad kebangsaan.
 
 "Saya rasa itu adalah ramuan yang terbaik di mana kita akan membentuk sebuah pasukan kebangsaan terdiri daripada gabungan pemain senior dan muda terbaik.
 
 "Pemain senior diperlukan untuk membimbing pemain muda dalam pasukan manakala pemain muda pula sudah tentu masih segar dan berasa teruja serta ghairah untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
 
 "Jadi ini bakal menjadi satu formula atau ramuan terbaik untuk Datuk Ong Kim Swee melakukannya dalam skuad kebangsaan," jelas Hassan.