JADUAL PERLAWANAN MALAYSIA PADA KEJUARAAN B-19 AFC 2018 DI INDONESIA

2018-05-18

Skuad bola sepak B-19 kebangsaan kendalian Bojan Hodak telah diundi dalam Kumpulan D bersama Arab Saudi, Tajikistan dan China bagi menghadapi Kejuaraan B-19 AFC di Indonesia yang dijadualkan berlangsung dari 18 Oktober hingga 4 November depan.

Pada majlis undian yang berlangsung di Jakarta, Indonesia hari ini, tuan rumah, Indonesia diundi dalam Kumpulan A bersama United Arab Emirates, Qatar dan Chinese Taipei.

Jepun, selaku juara bertahan diundi dalam Kumpulan B yang disertai tiga lagi pasukan iaitu Iraq, Thailand dan Korea Utara.

Saingan dalam Kumpulan C pula menyaksikan Vietnam, Korea Selatan, Australia dan Jordan akan berentap sekaligus melengkapkan kesemua 16 pasukan yang menyertai edisi ini.

Malaysia akan membuka kempen bertemu Arab Saudi pada 20 Oktober nanti di Stadium Patriot, diikuti aksi menentang Tajikistan pada 23 Oktober juga di Stadium Patriot dan China pada 26 Oktober di Stadium Pakansari. 

Sekiranya Malaysia layak ke suku akhir, perlawanan dijadualkan berlangsung pada 29 Oktober untuk bertemu juara atau naib juara dari Kumpulan C. 

Seterusnya, aksi separuh akhir dan final pula dijadualkan pada 1 dan 4 November.

Kali terakhir Malaysia mengambil bahagian dalam kejohanan ini adalah pada edisi 2006 di India ketika kejohanan ini masih dikenali sebagai Kejohanan Remaja AFC.

Ketika itu, Malaysia terkandas di peringkat kumpulan apabila mengalami tiga kekalahan - 1-2 kepada Vietnam, 0-2 kepada Arab Saudi dan 0-3 kepada Iraq.