JADUAL PERLAWANAN MALAYSIA PADA PIALA SUZUKI AFF 2018

2018-05-02

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe telah diundi dalam Kumpulan A bersama Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos bagi Piala Suzuki AFF 2018 yang dijadualkan berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember depan.

Pada majlis undian yang berlangsung di Jakarta, Indonesia hari ini, Thailand selaku juara edisi 2016 ditempatkan dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Filipina, Singapura dan pemenang perlawanan kelayakan antara Brunei dan Timor Leste.

Edisi ini juga akan menyaksikan sistem round-robin digunapakai dengan skuad Harimau Malaya akan beraksi dua perlawanan di gelanggang sendiri – lawan Laos dan Myanmar serta dua perlawanan di tempat lawan, bertemu Kemboja dan Vietnam.

Skuad Harimau Malaya bakal membuka kempen bertemu Kemboja pada 8 November diikuti aksi menentang Laos pada 12 November, kemudian pertemuan dengan Vietnam pada 16 November dan bakal mengakhiri saingan peringkat kumpulan menentang Myanmar pada 24 November.

Sekiranya Malaysia layak ke separuh akhir, perlawanan dijadualkan berlangsung secara timbal balik pada 1 hingga 6 Disember. Menanti pasukan negara jika layak adalah juara atau naib juara dari Kumpulan B. Aksi Final pula dijadualkan pada 11 dan 15 Disember.   

Dalam Piala AFF Suzuki 2016, Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan apabila kalah 0-1 masing-masing kepada Vietnam dan Myanmar serta mencatatkan keputusan menang 3-2 ke atas Kemboja.