JDT, PAHANG, KELANTAN DAN KL FELDA UNITED MARA KE SEPARUH AKHIR

Johor Darul Takzim, Pahang, Kelantan dan KL Felda United FC melangkah ke separuh akhir Piala FA 2014 apabila menewaskan lawan masing-masing pada saingan suku akhir kedua yang berlangsung malam tadi (18/2/2014).

Pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Kedah tidak mampu menghalang kemaraan pemain Johor Darul Takzim apabila tewas 0-2 hasil jaringan pemain kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha pada minit 62. Pemain gantian, Safee Sali menggandakan kedudukan selesa pasukan JDT apabila menolak mudah hantaran Amri Yahyah pada minit 85. Johor Darul Takzim layak ke separuh akhir dengan aggregat 5-1.

Hafiz Kamal sekali lagi menjadi wira Pahang apabila menjaringkan gol pada masa tambahan perlawanan, 90+1 di halaman sendiri, Stadium Darul Makmur sekaligus mengecewakan Dollah Salleh, bekas jurulatih Pahang. Sebelum itu, Fauzi Roslan menceriakan pasukan tuan rumah apabila menjaringkan gol pada minit ke 40 dan PDRM berjaya menyamakan kedudukan pada minit 50 hasil jaringan penyerang import Chad Souza. Kedudukan Pahang 2-1 PDRM kekal dan menyaksikan Pahang layak dengan aggregat 3-2.

Pertemuan berstatus kelab, Selangor PKNS FC bertemu Kelantan di stadium Selayang berakhir dengan jaringan 3-3 tetapi menyaksikan Kelantan layak ke separuh akhir dengan aggregat 6-5. Selangor PKNS FC bermula garang apabila Patrick Ronaldinho menjaringkan gol seawal minit ke 2, penalti dari Karlo Primorac (44') dan jaringan Hamka Hamzah pada minit 70. Pasukan The Red Warriors berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Ahmad Fakri Saarani (10'), Shakir Ali (25') dan Ghaddar pada minit 72.

Di Stadium Negeri Sarawak, pasukan tuan rumah kecewa apabila gagal menggunakan kelebihan di laman sendiri apabila sekadar seri 2-2 dengan KL Felda United FC. Gol Sarawak dijaringkan Joseph Kalang Tie (17') dan Akmal Rizal (80'), manakala gol KL Felda dihasilkan menerusi Zah Rahan (37') dan Indra Putra Mahayuddin (83'). KL Felda United FC layak ke separuh akhir dengan kelebihan gol tempat lawan.

 

J Category: 
article/latest-news