JDT pertahan kejuaraan Liga Super

Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya mempertahankan kejuaraan selepas muncul juara Liga Super 2015 meskipun tewas 2-1 kepada Felda United FC pada perlawanan terakhir di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.
 
 Ia berikutan pencabar terdekat, Pahang turut mengalami kekalahan apabila tewas 3-1 kepada Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
 
 Selepas berakhir 22 perlawanan, JDT berjaya mengumpul 46 mata manakala Pahang 44 mata.
 
 Selangor pula mengesahkan tempat ketiga menjadi milik mereka selepas berjaya menewaskan Perak 2-0 di Stadium Perak, Ipoh untuk mengumpul 39 mata, satu mata lebih daripada pasukan tangga keempat, Terengganu.
 
 Felda United FC yang menewaskan JDT menamatkan saingan liga di tangga kelima dengan 36 mata.
 
 PDRM di tangga keenam dengan 35 mata selepas mengatasi pasukan kedua tercorot, ATM 3-2 di Stadium Shah Alam.
 
 Lions XII di tangga ketujuh dengan 33 mata menerusi kemenangan mudah 3-0 ke atas pasukan tercorot, Sime Darby FC di Stadium Jalan Besar, Singapura.
 
 Kelantan pula gagal memintas Perak di tangga kelapan apabila dipisahkan perbezaan gol selepas terikat 28 mata untuk mereka menamatkan saingan liga di tangga kesembilan biarpun mencatat kemenangan tipis 4-3 ke atas pasukan tangga ke-10, Sarawak.
 
 Seterusnya, perlawanan playoff Piala Malaysia 2015 akan berlangsung Selasa ini (25 Ogos) menyaksikan ATM bertemu Negeri Sembilan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang manakala Sime Darby FC bertemu JDT II di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
 
 Undian Piala Malaysia 2015 akan berlangsung Khamis ini (27 Ogos) sebelum sepak mula perlawanan peringkat kumpulan pada 11 September.
 
 
 
KEPUTUSAN MALAM TADI:
 
FELDA UNITED FC 2
Shahrul Saad m-4,
Indra Putra Mahayuddin m-9 (p)
JOHOR DARUL TA'ZIM 1
Luciano Figueroa m-34 (p)
 
TERENGGANU 3
Issey Nakajima-Farran m-15,
Ashari Samsudin m-33,
Nasril Izzat m-67
PAHANG 1
Damion Stewart m-48
 
PERAK 0
SELANGOR 2
Ahmad Hazwan Bakri m-27,
Guilherme De Paula m-70
 
PDRM 3
Afif Amiruddin m-29,
Dramane Traore m-42,
Ashfaq Ali m-64
ATM 2
Jerry Palacios m-8
Azrul Azman (gs) m-45
 
LIONS XII 3
Safuwan Baharudin m-12,
Khairul Amri Kamal m-45+1 (p),
Hafiz Sujad m-73
SIME DARBY FC 0
 
KELANTAN 4
Mohd Noor Hazrul Mustafa m-11,
Khairul Izwan Rosli m-45+1,
Austin Amutu m-74,
Gilmar Da Silva m-85
SARAWAK 3
K Partiban m-76,
Billy Mehmet m-79 & m-89
J Category: 
uncategorised6