Juara Liga Premier ditentukan pada aksi terakhir

Pasukan mana yang bakal bergelar juara Liga Premier 2015 hanya akan dapat ditentukan pada perlawanan terakhir Jumaat ini selepas ketiga-tiga pasukan teratas berjaya mencatat kemenangan pada perlawanan ke-21, malam tadi.
 
 Pendahulu liga, Kedah kini hanya memerlukan sekurang-kurangnya seri pada perlawanan terakhir bertemu DRB HICOM di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk bergelar juara, sekali gus naik ke Liga Super 2016 selepas berjaya menewaskan Sabah 3-2 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
 
 T-Team pula berjaya merampas tangga kedua daripada Pulau Pinang berdasarkan kelebihan perbezaan gol selepas mudah membelasah pasukan tercorot yang sudah sah akan turun ke Liga FAM 2016, KL SPA Putrajaya FC 7-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
 
 Pulau Pinang terpaksa turun ke tangga ketiga biarpun mencatat kemenangan 2-1 ke atas DRB HICOM FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
 
 Berbaki satu lagi perlawanan, Kedah kini mengumpul 45 mata diikuti T-Team 42 mata dan Pulau Pinang 42 mata untuk peluang ketiga-tiga pasukan teratas ini masih terbuka dalam merebut dua slot teratas ke Liga Super 2016.
 
 Sementara itu, PKNS FC memastikan mereka akan menamatkan saingan di tangga keempat, sekali gus layak automatik ke saingan Piala Malaysia 2015 selepas berjaya menewaskan UiTM FC 4-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.
 
 Johor Darul Ta'zim II berjaya mengesahkan salah satu slot playoff Piala Malaysia 2015 sah menjadi milik mereka selepas mengikat Negeri Sembilan 0-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
 
 Kuantan FA pula menghidupkan peluang untuk terus kekal dalam saingan Liga Premier 2016 apabila berjaya menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Merdeka pada aksi tunggal yang berlangsung sebelah petang.
 
 Kuantan FA kekal di tangga kedua tercorot, tetapi kini menyamai jumlah 18 mata dengan Kuala Lumpur di tangga ke-10.
 

 
KEPUTUSAN SEMALAM:
 
KEDAH 3
Sandro Da Silva m-23 (p) & m-87,
Bang Seung-Hwan m-60
SABAH 2
Joel Chianese m-19 & m-30
 
T-TEAM 7
Tomislav Busic m-4, m-28, m-45+2, m-50 & m-78,
Sadriddin Abdullaev m-58,
Zulhanizam Shafine m-60
KL SPA PUTRAJAYA FC 0
 
PULAU PINANG 2
Hilton Mauro Moreira m-41,
Mohd Faiz Subri m-73
DRB HICOM FC 1
Hayato Hashimoto m-79
 
PKNS FC 4
Gonzalo Soto m-42,
Mohd Faiz Isa m-67,
Gabriel Guerra m-75,
Patrick Ronaldinho Wleh m-83
UiTM FC 1
Dao Bakary m-70
 
JOHOR DARUL TA'ZIM II 0
NEGERI SEMBILAN 0
 
KUALA LUMPUR 0
KUANTAN FA 2
Hazwan Fakhrullah Mohd Zuridi m-11,
Fabrice Noel m-81
J Category: 
uncategorised6