KEJUARAAN AFF B-19 2016: FILIPINA 0-5 MALAYSIA

2016-09-13 

Skuad Harimau Malaysia Bawah 19 tahun (B-19) kendalian Frank Bernhardt memulakan kempen Kejuaraan AFF B-19 2016 dengan langkah kanan apabila membelasah Filipina 5-0 di Stadium Hang Day, Hanoi, petang tadi.

Malaysia yang menguasai permainan sebaik wisel sepak mula berjaya mencetak gol pendahuluan menerusi tandukan kemas bek tengah, Hariz Kamarudin hasil sepakan penjuru ketua pasukan, Syahmi Safari pada minit ke-37.

Selang empat minit kemudian, penyerang, Jafri Firdaus Chew menjaringkan gol kedua pasukan kebangsaan menerusi sepakan percuma cantik untuk kedudukan separuh masa pertama berakhir 2-0.

Bersambung babak kedua, skuad negara terus mempamerkan dominasi ke atas skuad bimbingan Dan Padernal dengan menggandakan serangan bertali arus ke arah kubu lawan.

Pemain tengah berusia 18 tahun, Shah Amirul tenang menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh pada minit ke-75 setelah Syahmi dikasari oleh pemain pertahanan Filipina.

Syamer Kutty Abba yang masuk menggantikan Jafri Firdaus Chew kemudiannya menambah gol keempat pada minit ke-79 sebelum membuat umpanan untuk seorang lagi pemain gantian, Badrul Amin Rusalan melengkapkan kemenangan bergaya skuad Bernhardt pada minit ke-89 untuk keputusan muktamad 5-0.

Keputusan itu meletakkan Malaysia di tangga kedua peringkat saingan Kumpulan A dengan 3 mata di belakang pendahulu, Vietnam yang menumpaskan Timor Leste 4-1 pada satu lagi perlawanan kumpulan itu dengan 4 mata.

Seterusnya, skuad negara bakal beraksi pada perlawanan kedua menentang Singapura di venue yang sama, Khamis ini (15 September).

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD MALAYSIA B-19, FRANK BERNHARDT

“Perlawanan sulung tadi merupakan kali pertama kesebelasan utama ini diturunkan bersama dan para pemain berjaya menampilkan persembahan yang cukup bagus menentang pasukan Filipina yang juga bukan lawan yang mudah.

“Bagi perlawanan seterusnya, kita akan kekal menerapkan corak permainan yang sama walaupun pasukan Singapura lebih kuat berbanding pasukan Filipina.” 

KEDUDUKAN KUMPULAN A

 

P

M

S

K

G

B

MT

VIETNAM

2

1

1

0

4

1

4

MALAYSIA

1

1

0

0

5

0

3

TIMOR LESTE

2

1

0

1

3

5

3

SINGAPURA

1

0

1

0

0

0

1

FILIPINA

2

0

0

2

1

7

0