KEJUARAAN WANITA AFF 2016: MALAYSIA 0-4 AUSTRALIA B-20

2016-07-28

Skuad wanita kebangsaan kendalian Asyraaf Abdullah tewas 4-0 kepada Australia B-20 pada aksi sulung Kumpulan B, Kejuaraan Wanita AFF 2016 di Stadium Mandalarthiri, Mandalay, Myanmar, semalam.

Australia mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil ledakan dua gol penyerang, Cortnee Vine pada minit ke-13 dan minit ke-43. Bersambung babak kedua, Grace Maher dan Alexandra Chidiac masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-88 dan pada minit ke-89 untuk kedudukan muktamad 4-0.

Pada satu lagi perlawanan Kumpulan B, pasukan tuan rumah, Myanmar membelasah Timor Leste 17-0. Perlawanan kedua diteruskan esok (29 Julai 2016) dengan aksi Timor Leste bertemu Australia (4.30 petang, waktu Malaysia) diikuti aksi Malaysia bertemu Myanmar (7.30 malam, waktu Malaysia).

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD WANITA KEBANGSAAN, ASYRAAF ABDULLAH

"Pada perlawanan hari ini, kita berhadapan dengan pasukan yang jelas telah lama bersiap sedia dengan rapi kerana mereka mempersiapkan diri untuk Kelayakan Piala Dunia bawah-19 tahun. Pemain-pemain mereka mempunyai kelebihan fizikal dan kemahiran individu yang tinggi manakala kita pula agak lambat menyerap tekanan pihak lawan dan akhirnya dihukum melalui dua serangan pantas di sebelah kiri pada separuh masa pertama.

“Pemain-pemain kita kelihatan kurang keyakinan untuk mengawal dan menyimpan bola. Kita bagaimanapun berjaya menyerap serangan pasukan lawan sehinggalah lima minit terakhir di mana kita hilang fokus dan akhirnya dihukum dua gol mudah pada separuh masa kedua. Perlawanan seterusnya menentang Myanmar ini kita akan cuba menyerap serangan pantas mereka melalui sayap.  Saya lihat kemahiran teknikal individu pasukan Myanmar tidak seperti pasukan Australia namun pantas.

“Saya akan cuba mengekang serangan pantas mereka dan cuba membuat serangan balas . Saya akan bermain corak positif untuk membuat serangan dan berharap pemain-pemain yakin mengawal dan menyimpan bola. Myanmar mungkin mempunyai kelebihan tambahan dengan sokongan penonton mereka yang ramai memberi sokongan seperti perlawanan mereka menentang Timor Leste."

KEDUDUKAN KUMPULAN B

 

P

M

S

K

G

B

MT

MYANMAR

1

1

0

0

17

0

3

AUSTRALIA B-20

1

1

0

0

4

0

3

MALAYSIA

1

0

0

1

0

4

0

TIMOR LESTE

1

0

0

1

0

17

0