KEJUARAAN WANITA AFF 2016: MALAYSIA 13-0 TIMOR LESTE

2016-08-01

Malaysia mengakhiri kempen Kejuaraan Wanita AFF 2016 dengan membelasah Timor Leste 13-0 pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Mandalarthiri, Myanmar, semalam.

Skuad wanita kebangsaan memulakan pesta gol seawal minit kelima apabila pertahanan Timor Leste, Maria Da Conceica menjaringkan gol di gawang sendiri. Tiga minit kemudian, Shereilynn Elly Pius meledak gol kedua pasukan kebangsaan menerusi sepakan percuma sebelum menjaringkan empat lagi gol pada minit ke-12, 76, 82 dan 85 untuk dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Penyerang berusia 20 tahun, Nur Haniza Sa’arani pula memahat nama sebagai pencetak empat gol pada minit ke-17, 32, 35 dan 89 tatkala Malini Nordin menjaringkan dua gol pada minit ke-27 dan 45 sebelum pemain Timor Leste, C.S Marques menambah derita pasukannya setelah menjaringkan gol sendiri pada minit ke-68 untuk menyaksikan skuad kendalian Asyraaf Abdullah menduduki tangga ketiga Kumpulan B dengan mengumpul tiga mata daripada tiga perlawanan.

Pada satu lagi perlawanan kumpulan yang sama, pendahulu, Australia dan pasukan tangga kedua, Myanmar yang masing-masing telahpun layak ke separuh akhir, terpaksa akur berkongsi mata setelah terikat seri 1-1. Terdahulu pada dua perlawanan sebelum ini, Malaysia tewas 4-0 kepada Australia sebelum tewas tipis 2-1 kepada Myanmar.

 

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD WANITA KEBANGSAAN, ASYRAAF ABDULLAH

“Hari ini, para pemain kita layak mendapat perasaan gembira kerana menang dengan jumlah yang besar dan ini merupakan kemenangan kedua mereka bertaraf 'Kelas A' kerana sebelum ini kita menewaskan Singapura 2-0 di Stadium Likas pada perlawanan persahabatan. Kita telah membuktikan bahawa kita juga mampu untuk menjaringkan gol yang banyak seperti pasukan Myanmar dan Australia.

“Kemenangan ini semestinya dapat menyuntik keyakinan kepada pemain-pemain kita bahawa mereka boleh bermain dengan baik dan menjaringkan gol jika yakin dan berani untuk mengawal bola. Pujian harus diberikan kepada Shereilynn Elly Pius kerana telah menjaringkan lima gol dan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan dan begitu juga penyerang muda, Nur Haniza Sa’arani yang baru berusia 20 tahun telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan gerakan menarik dan telah menjaringkan empat gol. Bagi saya, beliau permata baharu pasukan kebangsaan.

“Namun, masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan untuk mempertingkatkan pasukan kebangsaan secara keseluruhannya. Perkara paling positif adalah kemunculan dua orang pemain muda untuk pasukan negara, Nur Athirah Farhana Zairi (17 tahun) dan Nur Haniza. Pasukan  negara telah membuktikan keupayaan sebagai pasukan yang harus diberi perhatian oleh pasukan-pasukan lain seperti Thailand, Vietnam dan Myanmar. Saya yakin dengan usaha yang terancang, pasukan negara akan menjadi sebuah pasukan yang dihormati pada masa akan datang.”

 

KEDUDUKAN TERAKHIR KUMPULAN B

 

P

M

S

K

G

B

MT

AUSTRALIA B-20*

3

2

1

0

25

1

7

MYANMAR*

3

2

1

0

20

2

7

MALAYSIA

3

1

0

2

14

6

3

TIMOR LESTE

3

0

0

3

0

50

0

*Layak ke separuh akhir.