KEJUARAAN WANITA AFF 2016: MYANMAR 2-1 MALAYSIA

2016-07-30

Skuad wanita kebangsaan kendalian Asyraaf Abdullah gagal mara ke separuh akhir Kejuaraan Wanita AFF 2016 selepas tewas 2-1 kepada Myanmar pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Mandalarthiri, Mandalay, Myanmar, malam tadi.

Pemain sayap kiri, Dadree Rofinus membuka tirai jaringan buat Malaysia pada minit ke-19 sebelum pengadil, Pannipar Kamnueng menganugerahkan sepakan penalti buat pasukan tuan rumah pada minit ke-43 yang disempurnakan Khin Moe Wai untuk kedudukan 1-1 pada separuh masa pertama.

Masuk babak kedua, asakan bertali arus Myanmar berjaya dipatahkan oleh ketangkasan penjaga gol skuad negara, Asma Junaidi yang turut dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Bagaimanapun, usaha skuad bimbingan Roger Reijners membuahkan hasil pada minit ke-77 menerusi gol kemenangan oleh Win Theingi Tun yang membolehkan pasukan naib juara edisi tahun lepas itu layak ke separuh akhir dengan mengumpul enam mata daripada dua perlawanan.

Terdahulu, Australia berpesta gol apabila membelasah Timor Leste 20-0 untuk mendahului saingan Kumpulan B. Perlawanan terakhir esok (31 Julai 2016) bakal menyaksikan Malaysia bertemu Timor Leste (4.30 petang, waktu Malaysia) diikuti aksi Myanmar bertemu Australia (7.30 malam, waktu Malaysia).

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD WANITA KEBANGSAAN, ASYRAAF ABDULLAH

"Saya berpuas hati dengan persembahan pada perlawanan hari ini kerana walaupun tewas, kita berjaya menunjukkan prestasi yang memberangsangkan menentang sebuah pasukan kuat di rantau Asia Tenggara yang juga merupakan naib juara tahun lalu dan selaku tuan rumah pula mempunyai sokongan penonton-penonton fanatik mereka.

“Kita berjaya mendahului 1-0 hingga minit ke-43 sebelum pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pihak lawan yang pada pendapat saya, tidak sepatutnya diberikan. Kita juga berjaya mengekang dan menyerap serangan mereka hinggalah minit ke-77 mereka menghasilkan gol kedua mengambil kesempatan daripada ketiadaan bek tengah kita, Nur Athirah Farhanah Zairi akibat kecederaan.

“Keputusan ini merupakan  keputusan positif kerana pada edisi tahun lepas, Malaysia tewas dengan jaringan besar kepada Myanmar. Prestasi ini pasti dapat memberi keyakinan kepada pemain-pemain pasukan kita untuk bersaing dalam temasya Sukan SEA pada tahun depan.

“Saya juga gembira kerana pemain-pemain muda kita, Athirah (17 tahun) dan Nur Haniza Sa'arani (20 tahun) telah menampilkan prestasi yang baik bersama pasukan senior. Secara keseluruhan, pemain-pemain mengikut segala arahan saya dan sedikit pertukaran taktikal membuahkan hasil. Malaysia menang 1-0 atau seri sebagaimana saya katakan kepada pemain."

KEDUDUKAN KUMPULAN B

 

P

M

S

K

G

B

MT

AUSTRALIA B-20

2

2

0

0

24

0

6

MYANMAR

2

2

0

0

19

1

6

MALAYSIA

2

0

0

2

1

6

0

TIMOR LESTE

2

0

0

2

0

37

0