KELAYAKAN KEJUARAAN B-23 AFC 2018: MALAYSIA 0-3 THAILAND

2017-07-22

Skuad B-22 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 3-0 kepada tuan rumah, Thailand pada perlawanan kedua Kumpulan H di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok, Thailand, malam tadi.

 Selepas menang 3-0 ke atas Indonesia pada aksi sulung Rabu lalu, kekalahan kepada Thailand itu bagaimanapun belum menutup peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir di China, Januari depan.

 Pada aksi terakhir Ahad ini, Malaysia perlu menewaskan Mongolia yang dibelasah Indonesia 7-0 pada aksi sebelah petang dengan peluang untuk muncul juara Kumpulan H mahu pun lima pasukan tempat kedua terbaik untuk layak ke China masih terbuka.

 Pada aksi malam tadi, Kim Swee terpaksa melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utamanya berbanding aksi sulung bertemu Indonesia dengan meletakkan penjaga gol, Amierul Hakimi Awang dan Syahmi Safari bagi menggantikan Ifwat Akmal Chek Kassim dan Syafiq Ahmad yang cedera.

 Sementara Thailand kendalian Worrawoot Srimaka hanya mengekalkan lima pemain daripada kesebelasan ketika mereka diikat Mongolia 1-1 pada Rabu lalu.

 Gol pertama Thailand hadir pada minit ke-25 menerusi penyudah kaptennya, Chenrop Samphaodi selepas percubaan awal Sasalak Haiprakhon hasil hantaran lintang Ratthanakorn Maikami dikeluarkan kapten Malaysia, Adib Zainudin di atas garisan gol.

 Ketika permainan menghampiri penghujung masa kecederaan separuh masa pertama, Thailand beroleh gol kedua juga menerusi Chenrop selepas pemain-pemain pertahanan Malaysia gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

 Selepas ketinggalan 2-0, Kim Swee membawa masuk tenaga baharu di barisan depan sebaik babak kedua bersambung dengan Akhyar Rashid masuk menggantikan Ariff Farhan Md Isa.

 Biarpun berjaya menguasai aksi babak kedua dan beroleh beberapa peluang, Malaysia gagal untuk menembusi kekebalan benteng tuan rumah bagi merapatkan jurang gol.

 Sebaliknya Thailand berjaya mendapatkan gol ketiga pada minit ke-87 selepas pemain gantian, Picha U-Tra yang melepasi perangkap ofsaid tenang menyudahkan peluang satu lawan satu dengan Amierul Hakimi untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-0.

KREDIT FOTO: ASIANA.MY

 

MALAYSIA: 22-Amierul Hakimi Awang ; 5-Adib Zainudin (C), 17-Irfan Zakaria, 9-Adam Nor Azlin; 13-Syahmi Safari, 7-Amirul Hisyam Awang Kechik (8-Danial Ashraf Abdullah 66'), 16-Danial Amier Norhisham, 23-Ariff Farhan Md Isa (10-Akhyar Rashid 46'); 12-N Thanabalan, 11-Jafri Firdaus Chew (14-Nur Shamie Iszuan Amin 83'), 21-Syazwan Andik Ishak.

THAILAND: 1-Nont Muangngam; 17-Ratthanakorn Maikami, 5-Shinnaphat Lee-Oh, 2-Saringkarn Promsupa, 22-Suriya Singmui; 8-Nopphon Ponkam, 21-Panudech Maiwong (13-Picha U-Tra 58'), 6-Chaowat Veerachat (16-Phitiwat Sukjitthammakul 85'); 20-Sasalak Haiprakhon, 9-Chenrop Samphaodi (C) (7-Nattawut Sombatyotha 60'), 10-Chaiyawat Buran.

Pengadil: Hasan Akrami (Iran)

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA B-22, DATUK ONG KIM SWEE

"Kita tahu kualiti yang dimiliki Thailand apabila mereka boleh menukar enam pemain daripada kesebelasan bertemu Mongolia dan masih mampu beraksi dengan cukup baik seperti ini.

 "Masalah dengan pemain saya, mereka terlalu menghormati Thailand dan memberi pemain lawan banyak ruang pada separuh masa pertama. Gol kedua pada masa kecederaan babak pertama itu yang membunuh harapan kami untuk kembali bangkit.

 "Peluang untuk ke pusingan akhir masih ada selagi kami tidak kalah dengan Mongolia pada perlawanan terakhir nanti. Tapi kami perlu bergantung kepada keputusan perlawanan-perlawanan lain.

 "Ia satu situasi yang rumit. Kami mungkin boleh layak secara automatik selaku juara kumpulan, layak selaku lima pasukan terbaik di tempat kedua dan boleh juga menamatkan kedudukan di tangga tercorot jika kalah kepada Mongolia."