Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019: Malaysia 1-1 Timor Leste

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya mencatat keputusan seri 1-1 dengan Timor Leste pada perlawanan sulung Kumpulan A saingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
 
 Gol pendahuluan Malaysia menerusi sepakan Safee Sali pada minit ke-34 disamakan Timor Leste pada minit akhir permainan menerusi tandukan pemain pertahanan, Ramon Saro selepas sepakan percuma, minit ke-93.
 
 Satu lagi perlawanan Kumpulan A yang berlangsung awal pagi tadi, Arab Saudi mencatat kemenangan tipis ke atas Palestin 3-2 di Dammam, Arab Saudi.
 
 UAE yang tidak beraksi untuk hari pertama saingan pula tewas 3-0 kepada Korea Selatan pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, petang semalam.
 
 Perlawanan kedua Kumpulan A, Selasa ini, Malaysia akan bertemu Palestin di Stadium Nasional, 8.45 malam manakala Timor Leste menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang sendiri sementara untuk berdepan UAE, 4 petang.
 
MALAYSIA: 22. Khairul Fahmi Che Mat; 16. S Kunanlan, 2. Muslim Ahmad, 3. Fadhli Shas, 21. Zubir Azmi; 19. Joseph Kalang Tie (14. Azammuddin Akil 55'), 15. Junior Eldstal, 8. Safiq Rahim (K), 13. Indra Putra Mahayuddin (9. Nazrin Nawi 75'); 17. Amri Yahyah, 10. Safee Sali (7. Afiq Azmi 81').
 
TIMOR LESTE: 12. Ramos Maxanches; 13. Diogo Rangel, 3. Paulo Martins, 5. Ramon Saro, 15. Agostinho Araujo; 9. Jairo Neto, (11. Nataniel Reis 73'), 6. Anggisu Barbosa (K), 8. Junior Aparecido, 23. Jose Fonseca, (7. Eusebio de Almeida 86'); 10. Rodrigo Silva, 19. Patrick Fabiano.
 
PENGADIL: Jarred Gavan Gillett (AUSTRALIA)
 
 
KOMEN JURULATIH MALAYSIA, DOLLAH SALLEH
 
"Pada keseluruhannya memang saya kecewa jugalah dari segi persembahan. Kita tak ambil peluang berdepan pasukan yang tidak buat persiapan begitu sangat dan kita lihat beberapa pemain mereka mengalami kekejangan otot, sebaliknya kita pula yang serba tidak menjadi.
 
 "Walaupun kita menguasai permainan, tapi kita tidak mencipta jaringan. Kita serang tapi kita habis begitu saja apabila menghampiri kotak penalti lawan. Ada dua tiga peluang tetapi kita sia-siakan.
 
 "Kesilapan minit terakhir itu satu kesilapan besar di bahagian pertahanan. Kita melepaskan gol betul-betul pada tambahan masa permainan babak kedua.
 
 "Bukan kerana kita terlalu yakin untuk menang tetapi kita jadi kucar kacir sedangkan pihak lawan hanya dua tiga pemain di bahagian atas. Kita pula seolah hilang tumpuan. Mungkin takut untuk dibolosi dan kita mungkin hilang fokus dalam keadaan keletihan.
 
 "Saya pun perhatikan ramai pemain agak letih hari ini. Mungkin disebabkan kita kurang perlawanan persahabatan. Tapi kita sia-siakan peluang yang sepatutnya kita raih tiga mata hari ini. Tak sepatutnya kita buang begitu saja.
 
 "Saya lihat pada keseluruhan pasukan, apa yang kita berlatih semua, saya ingat 30 hingga 40 peratus saja ditunjukkan pemain daripada apa yang kita inginkan. Itu yang membuatkan saya kecewa.
 
 "Saya pun tak pasti sebab apa. Semasa lawan Hong Kong, biarpun kita banyak peluang, tapi corak permainan kita tak henti sepanjang 90 minit. Cuma hari ini saya sendiri pun tak sangka benda ini boleh berlaku, dalam sekelip mata boleh berubah.
 
 "Sebenarnya saya dah tekankan konsep dan cara bermain semua, tapi malangnya hari ini memang saya cakap hanya 30 hingga 40 peratus saja ditunjukkan. Saya tak pasti sama ada pemain sudah agak selesa, hanya tunggu wisel penamat. Tapi ini bola sepak, kita kena main selagi pengadil tak tiup wisel penamat.
 
 "Saya akan tekankan dalam latihan dua tiga hari ini. Yang pasti, kita kena ubah semula, bukan dari segi latihan, tapi mentaliti pemain supaya mereka faham apa konsep yang kita inginkan.
 
 "Masih lagi khasnya bahagian depan, tercari-cari rentak untuk jaringkan gol. Tadi ada beberapa peluang, tapi dipersiakan.  Cuma saya rasa, nampak kita susah jaringkan gol kerana kita harap hanya penyerang untuk jaringkan gol, kurang sokongan daripada pemain tengah."
 
 
KOMEN JURULATIH TIMOR LESTE, FABIO MAGRAO
 
"Bagi kami, satu perlawanan yang baik dan jika kami tewas, saya anggap ia bukan satu keputusan yang adil kerana pada lima minit awal permainan, kami memiliki peluang menjaringkan gol dan satu gol dibatalkan kerana ofsaid. Saya tak pasti jika ia benar-benar ofsaid.
 
 "Sudah tentu, kami menamatkan permainan dengan sedikit keletihan kerana beberapa pemain sudah berehat lebih sebulan akibat liga sudah tamat. Jadi mereka sudah bercuti di rumah dan hanya kembali untuk persiapan singkat menghadapi perlawanan ini.
 
 "Persiapan kami kurang daripada seminggu atau lebih tepat, hanya tiga hari. Tapi saya sudah mengenali para pemain ini kerana kami pernah berkumpul bersama ketika aksi pusingan pertama kelayakan bertemu Mongolia. Mereka sudah tahu apa yang saya mahukan."
 
J Category: 
uncategorised7